PRN Sabah: Rakyat tagih pembangunan infrastruktur

PRN Sabah: Rakyat tagih pembangunan infrastruktur

KUALA LUMPUR,. Parti politik berhasrat memegang tampuk pemerintahan kerajaan baharu Sabah perlu menawarkan penyelesaian kepada masalah penghijrahan anak muda ke Semenanjung untuk mencari pekerjaan sesuai dengan kelayakan dan kelulusan mereka.

Selain tumpuan terhadap pembangunan infrastruktur asas dan pemulihan ekonomi akibat pandemik COVID-19, masalah peluang pekerjaan anak tempatan sudah berlarutan sekian lama dan harus menjadi keutamaan pemimpin mencari jalan penyelesaian.

Penganalisis politik Prof Madya Dr Jeniri Amir menyifatkan isu penghijrahan anak muda merupakan satu kerugian kepada Sabah dari aspek kepakaran tenaga kerja dan pembangunan modal insan bagi menjana pertumbuhan ekonomi negeri.

“Saya kira pengundi akan menilai calon dan parti dari segi keupayaan serta inisiatif ditunjukkan mereka dalam mencari penyelesaian mengenai isu ini serta meningkatkan usaha pembangunan dan membawa kesejahteraan bagi seluruh penduduk Sabah,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Justeru, katanya, hanya dengan kestabilan politik mampu memastikan kerajaan negeri yang dibentuk kelak benar-benar berupaya mewujudkan satu perancangan ekonomi jitu berteraskan aspirasi rakyat Sabah.

Menurutnya kestabilan politik dengan barisan pemimpin berintegriti mampu menggalakkan pelabur asing ke negeri itu serta merancakkan aktiviti ekonomi dan membuka peluang pekerjaan kepada anak tempatan.

Media melaporkan, kadar pengangguran di negeri Sabah berada di tahap kedua tertinggi di negara ini yang mencatatkan bilangan penganggur seramai 112,000 orang, tahun lepas.

Dalam pada itu, penganalisis politik Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani berkata isu berkaitan pembangunan dan peluang pekerjaan acap kali disuarakan rakyat Sabah dan ia semakin meruncing di kala dunia ketika ini dihimpit pandemik COVID-19.

Beliau berkata kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ketika ini dijangka digunakan sebaiknya oleh rakyat untuk sekali lagi menyuarakan kemahuan mereka itu kepada calon serta parti bertanding.

PRN Sabah ke-16 Sabtu ini menyaksikan 391 calon termasuk 56 calon Bebas bertanding merebut 73 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) termasuk 13 kerusi yang baharu diwartakan tahun lalu.

— BERNAMA

Oleh Muhammad Faiz Baharin & Jeiilnyly Masal

CATEGORIES
TAGS
Share This