PRN Sabah: Shafie Apdal dicabar empat lawan di DUN Senallang

SEMPORNA,. Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal yang mempertahan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Senallang pada Pilihan Raya Negeri Sabah (PRN) kali ini berdepan empat lawan, termasuk anak buahnya sendiri.

Ini berbeza sama sekali dengan situasi semasa Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang menyaksikan pertembungan satu lawan satu bagi merebut kerusi DUN berkenaan antara Mohd Shafie dengan sepupunya Datuk Seri Nasir Tun Sakaran, calon Barisan Nasional (BN).

Kali ini Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan) itu berdepan calon Perikatan Nasional (PN) Norazman Utoh Nain, yang juga anak buahnya, serta D Pg Ahmad Datu Ali Alam (Parti Perpaduan Rakyat Sabah) Mohammad Ramzan Abdul Wahab (USNO) dan Madjalis Lais (Parti Cinta Sabah).

Senarai calon yang bertanding diumumkan Pegawai Pengurus Pilihan Raya Benedict Asmat pada kira-kira 11.10 pagi selepas proses penamaan calon di Dewan Masyarakat Semporna ditutup.

Terdahulu, Mohd Shafie menyerahkan kertas pencalonannya pada 9.18 pagi.

Sementara itu, DUN Bugaya menyaksikan pertandingan tujuh penjuru antara penyandang Manis Muka Mohd Darah (Warisan Plus) dengan calon USNO, Parti Cinta Sabah (PCS), Perikatan Nasional (PN), Parti Perpaduan Rakyat Sabah (PPRS) serta dua calon bebas.

USNO diwakili Ahmad Kenajaan, PCS oleh Jihek Basanu, Taraji Jamdi mewakili PPRS, Mohd Daud Tampokong mewakili PN dan dua calon Bebas iaitu Rasidan Abd Latiff akan menggunakan simbol kunci manakala Abdul Jan Muammil @ Abdul Jim menggunakan simbol ikan.

Timbalan Ketua Menteri Sabah Datuk Dr Jaujan Sambakong, yang juga Naib Presiden Parti Warisan, pula berdepan saingan tiga penjuru dengan Alahuddin Mohd Sarah dari USNO dan Abdul Manan Indanan (BN) bagi mempertahan kerusi DUN Sulabayan.

Jumlah pemilih berdaftar di DUN Senallang adalah sebanyak 14,336 orang, DUN Bugaya (20,267) dan DUN Sulabayan (14,012).

Pengumuman calon bagi DUN Bugaya dibuat Pegawai Pengurus Pilihan Raya Linna Hassin manakala bagi DUN Sulabayan oleh Johan Okasi. – Bernama

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )