PRN: Suruhanjaya Tenaga nasihat elak aktiviti berbahaya semasa berkempen

PRN: Suruhanjaya Tenaga nasihat elak aktiviti berbahaya semasa berkempen

KUALA LUMPUR,. Suruhanjaya Tenaga (ST) menasihatkan supaya aktiviti berbahaya seperti menggantung bahan kempen pada tiang elektrik, menampal poster pada pencawang serta peti pembekal elektrik tidak dilakukan semasa kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) diadakan.

Menerusi kenyataan hari ini, suruhanjaya itu memaklumkan peringatan itu diberikan ekoran pernah berlaku satu kejadian kemalangan elektrik pada 2018 yang melibatkan kecederaan empat mangsa akibat renjatan elektrik ketika memasang tiang bendera parti politik di Johor.

“Oleh itu, bagi mengelak kejadian seumpama itu berulang serta bagi mencegah risiko kemalangan elektrik yang tidak diingini, ST menasihatkan supaya aktiviti berbahaya tidak dilakukan oleh pihak terlibat semasa kempen pilihan raya diadakan,” menurut kenyataan itu.

ST turut menasihatkan supaya tiang atau objek tinggi tidak didirikan berdekatan atau di bawah talian elektrik, memanjat menara atau tiang elektrik serta membawa objek tinggi seperti galah atau kayu panjang berhampiran atau melintasi talian elektrik.

Orang ramai juga diingatkan agar tidak memasang bendera atau sepanduk besar serta panjang berhampiran talian elektrik yang dikhuatiri terputus atau tersentuh dengan talian elektrik semasa angin kuat atau ribut, menggunakan kren dan kren pengangkat berhampiran pepasangan elektrik, memasang khemah atau membuka pusat gerakan di bawah talian elektrik serta menceroboh dan memasuki kawasan pencawang elektrik.

Suruhanjaya itu memaklumkan sebagai peringatan tambahan, mana-mana pekerja atau individu membawa objek seperti tiang atau galah berhampiran dengan talian atas voltan tinggi (33 kilovolt – 132 kilovolt) boleh menyebabkan percikan arka atau letupan, walaupun talian tidak bersentuhan dengan objek tersebut.

“Ini kerana, voltan yang tinggi boleh melintasi udara dalam jarak yang dekat,” menurut kenyataan itu.

Individu menjalankan apa-apa aktiviti berhampiran pepasangan elektrik tanpa kebenaran sah daripada pihak pemegang lesen atau utiliti adalah menyalahi peruntukan Seksyen 37(12) Akta Bekalan Elektrik 1990 [Akta 447] dan boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali jika disabitkan kesalahan.

ST dalam pada itu menasihatkan orang ramai atau mana-mana pihak yang menjalankan aktiviti berkempen agar mengutamakan keselamatan dan berhati-hati akan bahaya elektrik.

Pihak terlibat dalam kerja-kerja pemasangan bahan kempen pilihan raya perlu peka berkenaan bahaya elektrik apabila menjalankan aktiviti berhampiran pepasangan elektrik yang boleh menyebabkan renjatan elektrik atau percikan arka, menurut kenyataan itu.
Sebarang kemusykilan atau aduan boleh hubungi ST melalui talian 03-8870 8800 atau e-mel ke [email protected].

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This