Program AgriCOP dipergiat untuk manfaat penduduk pedalaman – Uggah

Program AgriCOP dipergiat untuk manfaat penduduk pedalaman – Uggah

KUCHING, 4 Sept — Program Jangkauan Pengembangan Komuniti Pertanian (AgriCOP) akan dipergiatkan lagi bagi membolehkan lebih ramai penduduk pedalaman mendapat manfaat daripadanya, kata Timbalan Ketua Menteri Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas.

Beliau berkata program yang melibatkan pengembangan teknologi penanaman, pengawalan makhluk perosak dan Amalan Pertanian Baik (myGAP) itu dapat meningkatkan hasil pertanian, sekali gus meningkatkan pendapatan keluarga petani kepada sekurang-kurangnya RM4,000 sebulan.

“Kerajaan negeri telah meluluskan peruntukan sebanyak RM9 juta untuk melaksanakan program pengembangan seperti ini di seluruh Sarawak,” katanya pada perasmian program AgriCOP di Skim Penempatan Bengoh, kira-kira 45 kilometer dari sini, hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Menteri Muda Pengangkutan Sarawak Datuk Dr Jerip Susil.

Menurut Uggah, pembangunan pertanian di kawasan pedalaman perlu dilaksanakan secara berkelompok supaya pembangunan infrastruktur ladang, seperti jalan ladang dapat dilaksanakan dengan lebih teratur, seterusnya memudahkan pengangkutan hasil pertanian ke pasaran.

Beliau berkata AgriCOP dilaksanakan untuk merapatkan lagi hubungan dan kerjasama antara Jabatan Pertanian dan golongan keluarga tani di kawasan pedalaman.

Uggah yang juga Menteri Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah negeri berkata kementerian itu telah memperkenalkan pertanian moden seperti fertigasi berstruktur hidroponik, akuaponik dan Internet of Things (IoT) yang melibatkan penggunaan kawasan dan tenaga manusia yang minimum tetapi mampu mengeluarkan hasil yang tinggi berbanding penanaman secara konvensional.

“Usaha ini perlu untuk mencapai visi Sarawak menjadi pengeksport makanan menjelang 2030, di samping perlu berganding bahu memainkan peranan dalam melaksanakan inisiatif kerajaan ini,” katanya.

Katanya pengeluaran sayur-sayur dan buah-buahan tempatan masih tidak mencukupi dan setakat tahun 2019 Sarawak hanya mencapai 41 peratus taraf sara diri (SSL) untuk sayur-sayuran dan buah-buahan.

Seramai 200 peserta daripada kalangan masyarakat Bidayuh Biya menghadiri program sehari itu.

— BERNAMA

CATEGORIES
Share This