Program ‘Food Bank Malaysia’ bukan bantuan makanan rasmi kerajaan – KPDNHEP

Program ‘Food Bank Malaysia’ bukan bantuan makanan rasmi kerajaan – KPDNHEP

PUTRAJAYA,. Program ‘Food Bank Malaysia’ adalah program kesukarelawan yang dikendalikan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dan bukan program bantuan makanan rasmi kerajaan.

KPDNHEP dalam satu kenyataan semalam menjelaskan program itu berkonsepkan saluran bantuan melalui pengumpulan barangan makanan dan keperluan daripada penyumbang seperti pasar raya, pengilang, pengusaha makanan serta syarikat korporat, serta tidak melibatkan peruntukan kerajaan.

Program Food Bank Malaysia yang diselaraskan KPDNHEP diperkenalkan pada 2018 dan giat dilaksanakan ketika negara melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Mac 2020.

Selain membantu golongan terjejas, objektif lainnya adalah untuk mengurangkan pembaziran lebihan makanan yang masih elok yang dihasilkan oleh industri peruncitan.

Dalam kenyataan sebagai maklum balas susulan tular video mengenai individu mempertikaikan jumlah barangan bantuan yang diterima dalam kotak makanan KPDNHEP, ia berkata kotak yang merupakan pek individu adalah untuk kegunaan segera selain mengandungi makanan kering (sedia untuk dimakan) dan keperluan diri.

KPDNHEP berkata barangan lain seperti beras, gula, tepung, lampin pakai buang bagi bayi dan orang dewasa beserta tuala wanita turut disediakan secara berasingan.

Bagi kegunaan isi rumah pula, KPDNHEP menyediakan dan mengedarkan sumbangan seperti beras, tepung, minyak masak dan makanan kering yang biasanya disumbang kepada mangsa banjir selepas mereka pulang ke rumah masing-masing.

Pihak KPDNHEP melalui Sekretariat Food Bank Malaysia telah mengagihkan bakul makanan dan keperluan diri kepada 3,230 ketua isi rumah yang terkesan oleh bencana banjir bagi tempoh 19 Dis 2021 sehingga semalam, katanya.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This