
Program Jaringan Prihatin dan JENDELA integrasikan rakyat ke arah dunia digital
KUALA LUMPUR,. Program Jaringan Prihatin dan Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) yang diperkenalkan kerajaan pada pembentangan Belanjawan 2021 baru-baru ini, disifatkan platform terbaik dalam menginteg-rasikan rakyat ke arah dunia digital.
Pensyarah Fakulti Pengurusan Maklumat Universiti Teknologi MARA (UiTM) Prof Madya Dr. Nor Hayati Hussin berkata, pelaksanaan dua inisiatif itu secara tidak langsung akan menambah baik infrastruktur dan kemudahan jaringan Internet negara, sekali gus memberi rakyat lebih peluang untuk meneroka dunia teknologi maklumat.
“Penumpuan kerajaan yang kita lihat ialah kepada kumpulan berpendapatan rendah B40 menerusi Program Jaringan Prihatin.
“Kita melihat inisiatif ini antara langkah proaktif kerajaan untuk menyedia-kan kemudahan Internet dan pada masa sama me-ngurangkan beban kewangan rakyat untuk mendapatkan kemudahan itu… sudah semestinya ia akan memberi manfaat kepada B40 secara menyeluruh,” katanya kepada Bernama semalam.
Beliau berkata, pelaksaan program (Jaringan Prihatin) itu juga akan menambah baik informasi dalam kalangan rakyat termasuk di kawasan pedalaman apabila rakyat akan dapat memperoleh kandungan maklumat yang lebih meluas, termasuk me-ngetahui pekhidmatan yang ditawarkan kerajaan apabila mereka mengakses Internet.
Nor Hayati berkata, sejak Perintah Kawalan Perge-rakan (PKP) dikuatkuasakan kerajaan akibat pendemik COVID-19 sejak Mac lepas, rakyat Malaysia telah menghabiskan kebanyakan masa mereka secara dalam talian sehingga ada dalam kalangan mereka membina rangkaian di media sosial sebagai kaedah mendapatkan sumber kewangan alternatif.
Sehubungan itu, katanya, beliau yakin Program Jari-ngan Prihatin yang akan dilaksanakan mampu mewujudkan capaian Internet berkelajuan tinggi sekali gus membantu B40 menjana pendapatan.
“Sebagai contoh sejak PKP, ada yang mula berniaga dengan menjadi ejen ‘dropship’ yang mana mereka hanya mengiklankan produk masing-masing menerusi medium media sosial termasuk di Facebook dan Instagram, dan saya jangka keadaan ini (berniaga dalam talian) akan berterusan,” katanya.
Sementara itu, Pensyarah Kanan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Dr Wan Nurul Mardiah Wan Mohd Rani berkata kerajaan me-ngambil langkah tepat apabila menyediakan peruntukan bertujuan memperkasa dan memperluaskan jaringan Internet terutamanya kepada golongan sasar.
Beliau berkata, bagaimanapun bagi memastikan inisiatif itu berkesan dan mencapai matlamatnya, kerajaan dan agensi terlibat perlu menyediakan program kesedaran supaya tidak ada kumpulan sasar yang ketinggalan dalam menggunakan kemudahan Internet.
‘’Masih ada rakyat negara ini terutamanya mereka di pedalaman yang tidak tahu bagaimana menggunakan Internet, dan mereka ini perlu diajar serta diberi pendedahan supaya tidak terus ketinggalan,’’ katanya.
Belanjawan 2021 telah memberikan tumpuan khusus kepada usaha merapatkan jurang digital dan menyediakan infrastruktur tele-komunikasi yang lebih baik menerusi Program Jaringan Prihatin dan JENDELA.
Program Jaringan Prihatin yang menelan belanja RM1.5 bilion akan dapat dimanfaatkan oleh lapan juta dari golongan B40 dan mereka akan menerima RM180 seorang yang boleh digunakan untuk perbelanjaan langganan Internet atau menampung sebahagian kos pembelian telefon bimbit baharu.
Di bawah pelan JENDELA pula, kerajaan memperuntukkan sejumlah RM500 juta bagi tahun 2021 bertujuan untuk memastikan kesa-linghubungan kepada 430 sekolah di seluruh negara.
— Bernama