Program Miracle Baby bantu kanak-kanak sakit jantung

Program Miracle Baby bantu kanak-kanak sakit jantung

GEORGE TOWN,. Program Miracle Baby yang menawarkan pembedahan pada kos minimum memberi manfaat kepada kanak-kanak tempatan yang menghidap penyakit jantung berlubang dan kongenital.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata program kerjasama strategik antara Kementerian Kesihatan (KKM), Universiti Tuanku Abdul Rahman (UTAR) dan Hospital Sri Sathya Sai Sanjeevani (SSSSH) India itu membolehkan perkhidmatan pembedahan jantung kanak-kanak kompleks dijalankan di Hospital Pulau Pinang (HPP) di sini, selain pemindahan kepakaran kepada KKM.

“Setiap tahun dianggarkan seramai 5,000 bayi dilahirkan dengan penyakit jantung berlubang dan kongenital di Malaysia dan kebanyakannya memerlukan rawatan pembedahan jantung dengan kepakaran kompleks dan bagi mengatasinya, KKM menjalankan Program Miracle Baby,” katanya dalam rakaman ucapan perasmian Program Miracle Baby di di HPP hari ini.

Turut hadir Pengarah Kesihatan Pulau Pinang Datuk Ma’arof Sudin, Pengerusi UTAR Tan Sri Dr Sak Cheng Lum dan Pengerusi SSSSH Dr Sreenivas Chodagam.

Beliau berkata kolaborasi itu juga bertujuan menyediakan perkhidmatan pembedahan jantung kanak-kanak kompleks yang berkualiti dan akan diteruskan sebagai bantuan kemanusiaan dan kebajikan.

“Program rintis itu telah bermula pada 28 Nov lepas dan sedang berlangsung selama dua minggu, sehingga hari ini seramai 12 orang pesakit termasuk tiga orang pesakit dari Sabah telah dihantar ke HPP untuk menjalani rawatan,” katanya.

Dr Noor Hisham berkata sebelum ini KKM menaja pesakit bagi pembedahan di luar negara menerusi kerjasama dengan badan bukan kerajaan tempatan dan luar negara susulan kekangan slot rawatan pembedahan di Malaysia.

”Bagi memastikan kelestarian perkhidmatan pembedahan jantung kanak-kanak di negara ini, pihak pengurusan KKM, SSSSH dan UTAR bersetuju untuk meneruskan misi kemanusiaan bagi membantu kanak-kanak kurang bernasib baik dan memerlukan rawatan pembedahan jantung melalui program Miracle Baby,” katanya.

Beliau berkata program itu diharap dapat memangkin hasrat kementerian untuk memulakan perkhidmatan pembedahan jantung kanak-kanak dalam skala lebih besar di Hospital Seberang Jaya yang dijangka siap pada 2023.

”Kami mengalu-alukan kerjasama dengan pihak UTAR dan SSSSH dalam Program Miracle Baby ini untuk jangka masa panjang dengan menjemput pakar-pakar dari SSSSH India ke Malaysia secara berkala.

“Objektif utamanya ialah berkongsi kepakaran pembedahan jantung dengan menjalankan pembedahan untuk 15 hingga 20 orang kanak-kanak bagi setiap lawatan,” katanya.

Sementara itu, Yap Hooi Mui, 36, berkata anak bongsunya, Iris Sim Jia Xin, 8, yang menghidap penyakit jantung berlubang, merupakan pesakit pertama menjalani pembedahan di bawah program berkenaan pada 28 Nov lepas.

“Selepas dibedah, anak saya semakin aktif dan saya sangat bersyukur program Miracle Baby ini diperkenalkan kerana ia membantu ibu bapa dan kanak-kanak yang menghidap penyakit jantung,” katanya kepada pemberita selepas majlis itu.

Seorang lagi pesakit jantung berlubang, Eisya Marzuki, 16, selamat menjalani pembedahan jantung di bawah program itu hujung bulan lepas.

Eisya berkata beliau tidak sabar untuk kembali ke sekolah dan menjalani kehidupan selepas proses pemulihan yang mengambil masa sekurang-kurangnya enam minggu.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada para doktor termasuk doktor dari SSSSH India yang telah merawat saya sepanjang di HPP, saya tidak sabar kembali ke sekolah bagi meneruskan sesi pembelajaran bersama rakan-rakan dan guru, namun saya perlu pastikan saya pulih dahulu,” katanya.

Ibunya Siti Norazidah Mohd Hamzah, 41, bersyukur Eisya terpilih untuk program tersebut dan hanya perlu menungggu sekitar dua bulan sahaja bagi menjalani pembedahan.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )