Program Pelita Raya Beautiful Terengganu 2021 meriah, kreatif

Program Pelita Raya Beautiful Terengganu 2021 meriah, kreatif

KUALA TERENGGANU,. Kreatif, unik dan berjaya menonjolkan identiti istimewa di setiap tujuh daerah di Terengganu.

Itu gambaran keseluruhan pengunjung yang datang ke Kampung Budaya Terengganu dekat Losong di sini sempena penganjuran program Pelita Raya Beautiful Terengganu 2021 yang bermula sejak Khamis lepas.

Seorang pengunjung Muhammad Nizam Awang, 37, berkata, limpahan cahaya pelita pelbagai bentuk yang direka khas oleh kakitangan setiap pejabat daerah mewakili lambang istimewa yang sinonim di daerah masing-masing dan berjaya membangkitkan kemeriahan sambutan Aidilfitri tidak lama lagi.

“Gemerlapan cahaya bingkai kapal terbang di rumah tradisional yang dihias Pejabat Daerah Kuala Nerus contohnya sebagai simbolik kewujudan Lapangan Terbang Sultan Mahmud di daerah itu diikuti sotong di rumah tradisional yang dihias Pejabat Daerah Marang sebagai simbolik kemeriahan aktiviti candat sotong di perairan Pulau Kapas.

“Begitu juga dengan cahaya pelita berbentuk penyu mewakili daerah Dungun, jambatan angkat (Kuala Terengganu), meriam (Hulu Terengganu), rumah nelayan (Kemaman) dan masjid (Setiu)…semuanya dihias indah dan menjadi tumpuan pengunjung untuk merakamkan foto dan video sebagai tanda kenang-kenangan,” kata pekerja swasta itu ketika ditemui Bernama di sini malam kelmarin.

Program Pelita Raya Beautiful Terengganu 2021 yang berlangsung hingga 11 Mei ini adalah inisiatif kerajaan negeri melalui Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu untuk menghidupkan kembali tradisi memasang pelita pada bulan Ramadan seperti zaman dahulu.

Pengunjung yang datang dilihat sangat teruja merakam swafoto dan secara berkumpulan untuk merebut hadiah wang tunai dengan memuat naik foto itu ke laman Facebook dan Instagram masing-masing serta meletakkan tanda pagar #BeautifulTerengganuMalaysia #KampungBudayaTerengganu #MajuBerkatSejahtera dan #PelitaRayaBTM2021.

Selain itu, seorang kakitangan awam Nabila Hishamuddin, 40, berkata walaupun sambutan Aidilfitri tahun ini tidak meriah disebabkan pandemik COVID-19, namun kunjungan ke Kampung Budaya Terengganu berjaya mengembalikan nostalgia masa kecilnya di kampung halaman ketika bersama keluarga.

“Rumah-rumah tradisional di sini semuanya dihias indah dengan menonjolkan identiti setiap daerah. Suasananya sangat klasik seolah-olah berada di sebuah perkampungan Melayu pada zaman sebelum merdeka.

“Ini juga peluang terbaik untuk memberi pendedahan kepada generasi muda mengenai warisan adat serta tradisi hidup masyarakat zaman nenek moyang kita dahulu,” katanya yang yakin program itu mampu menjadi tarikan pelancongan istimewa di Terengganu sekiranya dianjurkan lagi pada tahun-tahun akan datang.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital Terengganu Ariffin Deraman berkata, kebiasaannya program itu melibatkan penyertaan rakyat Terengganu yang menghiasi halaman rumah masing-masing mengikut kreativiti mereka.

“Namun pada tahun ini, kita terpaksa mengubah format penganjurannya dengan melibatkan penyertaan pejabat-pejabat daerah yang diberi amanah untuk menghias setiap rumah tradisional di Kampung Budaya Terengganu.

“Pengubahsuaian format pertandingan kali ini adalah untuk mematuhi prosedur operasi standard (SOP) norma baharu bagi mencegah penularan COVID-19, malah jumlah pengunjung juga dihadkan hanya 300 orang pada satu-satu masa sepanjang program ini berlangsung,” katanya selepas hadir meninjau program tersebut di sini malam kelmarin.

— Bernama

CATEGORIES
TAGS
Share This