Program perkhidmatan ‘Mobile Service 2 U’ mendapat sambutan menggalakkan

Program perkhidmatan ‘Mobile Service 2 U’ mendapat sambutan menggalakkan

INTANGOR: Program perkhidmatan ‘Mobile Service 2 U’ yang dibawa terus kepada masyarakat di peringkat akar umbi adalah inisiatif dalam penyampaian perkhidmatan secara dua hala kepada masyarakat.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong Datuk Ding Kung Hiing berkata, sasaran program ini adalah kepada penduduk luar bandar dan pedalaman yang tiada akses mudah kepada perkhidmatan asas kerajaan.

“Program ini dianjurkan untuk mendekatkan perkhidmatan penting kepada rakyat agar manfaat perkhidmatan yang ditawarkan dapat dirasai oleh setiap lapisan masyarakat.

“Dalam program kali ini kita telah membawa terus kakitangan daripada pusat khidmat dan juga Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk membuka kaunter bagi membantu rakyat di peringkat akar umbi berkitan bidang tugas agensi jabatan kerajaan yang berkaitan.

“Program ini turut menjadi platform menyebarluaskan perkhidmatan, peranan, fungsi dan inisiatif yang sedang dilaksanakan jabatan ini kepada rakyat, terutama yang berkaitan dengan ‘Kenyalang Gold Card’.

“Dengan adanya program ini, masyarakat akan lebih sedar dan peka terhadap usaha, bantuan dan perkhidmatan yang disediakan kerajaan kepada mereka untuk dimanfaatkan,” kata Ding.

Beliau berkata demikian ketika hadir sama pada program ‘Mobile Service 2 U’ yang dibuka di beberapa lokasi di pekan Bintangor, hari ini.

Menurut Ding, program itu dilihat mampu menjadi satu kaedah yang berkesan kerana perkhidmatan yang disampaikan tidak hanya ditempatkan di satu-satu tempat yang khusus tetapi ia boleh digerakkan dari satu lokasi ke satu lokasi supaya lebih dekat dengan golongan sasar atau golongan yang amat memerlukan.

“Secara tidak langsung program ini juga menjadi platform untuk kita mendekati rakyat dan mengetahui dengan lebih dekat lagi berkaitan masalah dan isu yang membelenggu mereka.

“Dengan pendekatan ini juga, kita berharap segala kesulitan tersebut akan dapat kita selesaikan dengan segera.

“Pada masa akan datang kita turut bercadang menganjurkan program ini dengan lebih kerap lagi kerana ia telah mendapat sambutan yang amat memberangsangkan daripada masyarakat setiap kali program ini dianjurkan,” tegas Ding.

-Agensi

CATEGORIES
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )