Projek HORAS 600 mula operasi, tiada lagi masalah air pada musim kemarau – MB Selangor

BESTARI JAYA,. Kerajaan Selangor memberi jaminan bahawa rakyat di negeri itu tidak lagi berdepan masalah bekalan air pada musim kemarau dengan beroperasinya projek Hybrid Off River Augmentation System (HORAS) 600.

Menteri Besar Selangor Amirudin Shari berkata ini kerana projek kolam takungan berkapasiti 300 juta liter air sehari (JLH) itu mampu menampung bekalan kepada jutaan penduduk di negeri berkenaan dan Kuala Lumpur sehingga 100 hari.

Katanya air mentah yang disimpan di kolam HORAS adalah limpahan daripada Sungai Selangor ketika hujan dan ia akan disalirkan semula ke sungai berkenaan sekiranya paras air menjadi rendah pada musim kemarau untuk dirawat sebelum dibekalkan kepada rakyat.

“Jika paras air di Sungai Selangor rendah, ia berdepan risiko (menghasilkan) kandungan amonia dan bahan lain yang tidak selamat untuk diproses. Perkara inilah yang terjadi pada tahun 2013 dan 2014 (sehingga berlakunya catuan bekalan air ekoran musim kemarau berpanjangan).

“Dengan beroperasinya projek HORAS ini, ia akan memastikan paras air yang sempurna di Sungai Selangor dan ia dapat meningkatkan simpanan bekalan air mentah daripada 3,000 JLH kepada 3,300 JLH,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan projek berkenaan di sini, Rabu.

Amirudin berkata Sungai Selangor amat penting kepada negeri berkenaan kerana 60 peratus daripada bekalan air mentah kepada penduduk di Selangor dan Kuala Lumpur adalah berpunca daripada sungai berkenaan.

Katanya buat masa ini, projek HORAS yang mula beroperasi sejak ia siap dibina sepenuhnya pada 31 Okt lepas belum digunakan secara kritikal memandangkan keadaan cuaca yang agak baik dan kerap hujan.

Ditanya mengenai peranan HORAS sekiranya berlaku pencemaran di Sungai Selangor, Amirudin berkata pencemaran berkenaan akan ditangani terlebih dahulu sebelum air mentah yang disimpan di kolam itu disalirkan ke sungai tersebut bagi mempercepatkan aliran keluar bahan tercemar.

“Jika berlaku pula pencemaran di Sungai Selangor, seperti biasa kita akan tutup loji rawatan air (LRA), tanganinya dan alirkan keluar air yang tercemar. Simpanan air di HORAS boleh disalirkan juga untuk mempercepatkan prosesnya,” katanya.

Projek HORAS 600 yang mula dibina pada tahun 2014 dengan kos keseluruhan merangkumi kerja pengorekan kolam, perlindungan cerun dan rumah pam berjumlah RM306 juta di sini adalah seluas 211.39 hektar dengan kedalaman 23.5 meter.

Projek tersebut merupakan kolam dwifungsi iaitu untuk menakung limpahan air daripada Sungai Selangor dan kemudian disalirkan semula ke sungai tersebut ketika paras sungai itu rendah bagi dirawat di muka sauk LRA sebelum diagihkan kepada pengguna.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )