Projek ladang durian Musang King Koperasi Sindiyan mampu jana hasil RM3 billion

Projek ladang durian Musang King Koperasi Sindiyan mampu jana hasil RM3 billion

KOTA BHARU,. Projek ladang durian Musang King Koperasi Sindiyan Berhad di Lojing Gua Musang dijangka mampu menjana hasil mencecah RM3 bilion apabila ladang seluas 4,000 hekter (10,000 ekar) itu mengeluarkan hasil menjelang Oktober tahu depan.

Pengerusi Koperasi Sindiyan, Datuk Adnan Hussin berkata jangkaan itu berdasarkan harga semasa durian jenis tersebut yang agak lumayan dan ladang itu pula boleh mengeluarkan hasil sehingga mencecah 100,000 tan setahun.

“Buat permulaan sebanyak 60,000 pokok durian Musang King yang ditanam akan mengeluarkan hasil manakala jumlah itu akan ditambah menjadi 300,000 pokok secara berperingkat dalam tempoh tiga tahun,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita di Mesyuarat Agung Permulaan (Dalaman) Koperasi Sindiyan Berhad di sini hari ini yang turut dihadiri Pengarah Urusan Syarikat Sindiyan Berhad Che Chong Ha.

“Pada peringkat awal ini, kita akan mengeksport hasil durian Musang King ke negara China kerana ia menawarkan pasaran luas dan sentiasa mendapat permintaan tinggi terhadap ‘raja buah’ itu.

“Tanaman ini juga menggunakan teknologi dan baja yang mesra alam yang bebas daripada penggunaan baja kimia bukan sahaja selamat untuk para penggemar raja buah tetapi juga baik untuk alam sekitar untuk jangka masa panjang,” katanya.

Adnan selain pertanian pihaknya juga dalam perancangan untuk mendirikan tempat penginapan di ladang itu sebagai salah satu tarikan pelancongan.

“Sebagai permulaan, kita akan mengfokuskan terhadap tanaman Musang King dan kemudian akan wujudkan tempat penginapan bagi memberi pengalaman baharu kepada penggemar ‘raja buah’ ini,” katanya.

Untuk rekod Koperasi Sindiyan merupakan agensi pemasaran kepada Syarikat Sindiyan Berhad.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This