Projek Laos-Thailand-Malaysia tingkatkan dagangan tenaga pelbagai hala ASEAN – Yeo

Projek Laos-Thailand-Malaysia tingkatkan dagangan tenaga pelbagai hala ASEAN – Yeo

BANGKOK,. Projek Penyepaduan Tenaga Laos-Thailand-Malaysia (LTM-PIP) pertama dilihat sebagai satu pencapaian penting untuk meningkatkan perdagangan elektrik pelbagai hala dalam Grid Tenaga ASEAN (APG) dan rantau ini ke arah jaminan dan kemampanan tenaga serta kecekapan kos.

Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin berkata tiga anggota ASEAN itu pada Rabu bersetuju untuk meningkatkan dagangan kapasiti tenaga maksimum LTM-PIP kepada 300 megawatt (MW).

Beliau berkata Perjanjian Tambahan selama dua tahun kepada Perjanjian Pembelian dan Penghantaran Tenaga akan ditandatangani sebelum perjanjian semasa tamat pada Disember.

“LTM-PIP merupakan usaha awal bagi banyak lagi projek pada masa hadapan. Kita berharap anggota ASEAN lain akan menyertai usaha ini untuk memperkukuhkan APG,” katanya kepada Bernama di sini, hari ini.

LTM-PIP adalah platform untuk meningkatkan peluang bagi perdagangan elektrik pelbagai hala melangkaui negara jiran selain mengupayakan lagi kesalinghubungan antara grid di rantau ini.

Yeo mengetuai delegasi Malaysia ke Mesyuarat Menteri-menteri Tenaga ASEAN (AMEM) ke-37 dan Mesyuarat Berkaitan bertema ‘Advancing Energy Transition through Partnership and Innovation’ (Memajukan Peralihan Tenaga Menerusi Perkongsian dan Inovasi) di sini, yang berakhir hari ini.

AMEM adalah platform penting bagi membincangkan dan bertukar pandangan berkaitan beberapa perkara bersama menteri tenaga ASEAN, menteri tenaga Sidang Kemucak Asia Timur dan menteri tenaga ASEAN+3.

Yeo berkata Malaysia sedang membincangkan usaha itu dengan Singapura untuk turut serta dalam projek penyepaduan tenaga yang bertujuan memperluaskan kesalinghubungan tenaga dari grid tenaga di rantau ini.

“Pada masa ini, kabel bawah laut bagi menghantar sejumlah 1,100 MW antara Malaysia dan Singapura sedang dibangunkan. 550 MW pertama dijangka dilaksanakan pada Disember tahun ini dan 550 MW lagi pada April tahun depan.

“Selagi ia mampu dilaksanakan secara fizikal, termasuk pemasangan kabel bawah laut dan infrastruktur lain, Malaysia dan Singapura boleh memulakan perdagangan elektrik seawal tahun depan atau 2021. Kedua-dua negara berharap ia dapat dilaksanakan secepat mungkin,” katanya.

Yeo berkata Malaysia juga sedang berbincang dengan Indonesia mengenai kesambungan antara Semenanjung Malaysia dengan Sumatera; Sabah dengan Kalimantan utara; serta Sarawak dengan Kalimantan barat.

“Kesambungan antara kawasan berkenaan akan memperkukuhkan APG dan jaminan tenaga. Pada masa hadapan, apabila kita mula mendagangkan tenaga, sudah tentu ia memberi kelebihan dari segi kos bagi semua negara,” katanya.

Sementara itu, Yeo berkata Malaysia berada di landasan untuk mencapai sasaran 20 peratus campuran tenaga daripada tenaga diperbaharu (RE), tidak termasuk tenaga yang dijanakan oleh penjana kuasa hidro utama lebih daripada 100 MW, menjelang 2025.

“Kerajaan mempunyai matlamat untuk mencapai 20 peratus campuran tenaga daripada tenaga diperbaharu. Jika kita mengambil kira loji jana kuasa hidro utama, ia akan menjadi lebih daripada 40 peratus.

“Ia akan berjumlah 3.9 gigawatt dalam tempoh enam tahun akan datang. Kami mempunyai beberapa rancangan, dan kami berada di landasan. Saya percaya kita akan mencapai sasaran tersebut dengan selesa,” katanya.

Sementara itu, dalam kenyataan bersama AMEM ke-37, menteri menyambut baik hasil dapatan Kajian Analisis Penyepaduan Boleh Baharu ASEAN diketuai Thailand dan Agensi Tenaga Antarabangsa (IEA) untuk menilai kesan menyepadukan tenaga boleh baharu kepada grid tenaga bagi perdagangan tenaga pelbagai hala rentas sempadan APG.

“Penilaian kuantitatif ke atas manfaat serantau dalam kajian berkenaan mengesahkan potensi bagi kesambungan antara rentas sempadan APG untuk meningkatkan fleksibiliti sektor tenaga ASEAN bertujuan memenuhi perkongsian tenaga boleh baharu yang semakin meningkat, termasuk angin dan solar, secara berkesan dari segi kos dan boleh dipecayai,” katanya.

— BERNAMA

Oleh Linda Khoo Hui Li

CATEGORIES
TAGS
Share This