Projek SSLR bakal robah masa depan Lawas – Abang Johari

Projek SSLR bakal robah masa depan Lawas – Abang Johari

LAWAS,. Bandar Lawas bakal menikmati kemajuan yang lebih pesat apabila pembinaan projek pakej pertama Sarawak-Sabah Link Road (SSLR) sepanjang 77 kilometer (km) siap sepenuhnya pada awal 2026, kata Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.

Beliau berkata projek yang menyediakan akses jaringan pengangkutan lebih baik akan membuka banyak peluang dan usaha pembangunan di Lawas, seterusnya menarik lebih ramai pelabur tempatan dan asing untuk melabur di daerah itu.
“Jalan-jalan ini nanti akan saling berhubung, menjadikan pembangunan di Lawas semakin bertambah rancak, lebih ramai pelancong akan datang dan ekonomi di sini terus berkembang. Inilah masa depan Lawas.

“Lapangan Terbang Lawas pun bakal jadi baharu. Perkembangan ini akan menjadikan Lawas sebagai pintu kepada pelabur ke kawasan utara Sarawak,” katanya pada majlis pecah tanah projek SSLR di Batu 2 Jalan Gelugus, di sini pada Sabtu.

Katanya menerusi perancangan kerajaan negeri akan datang, projek laluan baharu itu akan diintegrasikan dengan Projek Jalan Pesisir Sarawak serta Lebuh Raya Pan Borneo yang sekali gus akan merancakkan pembangunan sosioekonomi di Lawas.

Abang Johari berkata pembinaan pakej pertama SSLR itu turut memudahkan kerajaan negeri untuk melaksanakan projek penyaluran bekalan elektrik serta liputan bekalan air bersih terawat ke kawasan pedalaman.

Katanya perkembangan yang menjadi ‘game changer’ bagi wilayah utara bumi Kenyalang itu selaras dengan hasrat kerajaan negeri menjadikan Sarawak sebagai negeri maju dengan penduduk berpendapatan tinggi menjelang 2030.

“Sarawak dan Sabah sedang membangun, dan menerusi projek ini tiba masa untuk rakyat di dua negeri ini menikmati tahap pembangunan yang sama tinggi (taraf pembangunannya) dengan Semenanjung (Malaysia),” katanya.

Projek SSLR melibatkan pembinaan infrastruktur yang menyediakan jalan baharu secara terus antara Sarawak dan Sabah tanpa perlu melalui negara jiran Brunei.

Bagi pakej pertama SSLR, ia meliputi jalan raya tunggal dua lorong sejauh 77 km yang menghubungkan Lawas ke Persimpangan Long Lopeng, melibatkan kos berjumlah RM1.13 bilion dengan tempoh pembinaan selama 53 bulan dan dijadualkan siap sepenuhnya pada 8 Jan 2026.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This