Proton buka Pusat Alat Ganti Serantau di Kuching

Proton buka Pusat Alat Ganti Serantau di Kuching

KUCHING,. Proton bakal membuka Pusat Alat Ganti Serantau (RPC) baharu di sini bagi pangkalan pelanggannya di Malaysia Timur untuk memenuhi permintaan yang semakin meningkat.

Menurut kenyataan medianya hari ini, kemudahan seluas 28,000 kaki persegi itu mempunyai lebih daripada tiga kali ganda kapasiti penyimpanan daripada stor sebelumnya.

Ia katanya, akan berfungsi sebagai pusat pengedaran alat ganti untuk bahagian dan komponen selepas jualan untuk Sabah dan Sarawak.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Proton Roslan Abdullah berkata, RPC baharu di Kuching yang hampir siap itu direka untuk memenuhi keperluan pengedar dan pelanggan Proton di Malaysia Timur.

“Ia mengurangkan masa menunggu alat ganti di rantau ini dengan logistik yang agak mencabar.

“Setelah siap, kami akan mempunyai keupayaan untuk menyimpan sehingga tiga bulan stok, malah boleh juga menerima penghantaran terus alat ganti daripada vendor luar negara,” katanya dalam kenyataan tersebut.

Tambahnya, selain daripada peningkatan ruang dan keupayaan untuk mengendalikan penghantaran terus alat ganti, RPC baharu juga akan dapat menyimpan sehingga enam kontena.

Ia katanya, membolehkan RPC itu menerima berbilang tempahan serentak, selain akan dapat mengendalikan peningkatan daya pengeluaran, mengurangkan masa yang diperlukan untuk memproses dan menghantar pesanan ke pusat servis/pengedaran.

“Kami menjangkakan untuk melihat peningkatan ketara dalam masa menunggu untuk kerja-kerja membaiki kenderaan kemalangan.

“Sebagai tambahan kepada tiga bulan stok yang dipegang di RPC, pengedar kami juga dikehendaki mempunyai stok bahagian penyelenggaraan selama tiga bulan.

“Ini adalah contoh usaha Proton untuk terus menambah baik perkhidmatan selepas jualan bagi memberikan tahap kepuasan pelanggan yang tertinggi.

“Kami faham mungkin ramai yang berhati-hati tetapi saya ingin meyakinkan pemilik semasa dan akan datang, alat ganti kini tersedia untuk Proton baharu anda”, tambah Roslan.

Dalam perkembangan lain, Proton memaklumkan bahawa jualan jenama berkenaan di Malaysia Timur telah meningkat secara progresif sejak 2019, berikutan pelancaran Proton X70 pada 12 Disember 2018.

Jumlah jualan di rantau ini telah meningkat sebanyak 120 peratus dari 2018 hingga 2021 dan dengan angka tempahan yang sihat pada 2022, syarikat menjangkakan pertumbuhan sebanyak 20 peratus lagi dalam jualan tahun ke tahun.

Sehingga akhir Oktober, Proton telah menyerahkan 115,366 unit kenderaan setakat tahun ini, menunjukkan peningkatan sebanyak 33.6 peratus setakat ini untuk tempoh sepuluh bulan 2022.

“Bagi pembeli kereta di Malaysia Timur, Proton Saga kekal sebagai model paling popular kami, diikuti Proton X50.

“Tahun lepas, kami menjual 8,692 unit Proton Saga dan 2,934 unit Proton X50 dan berdasarkan trend tempahan semasa, kami meramalkan jualan masing-masing akan melebihi 10,000 dan 4,200 unit,” kata Roslan.

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )