PRU15: 292 kawasan dikenal pasti berpotensi cetus isu ketenteraman awam

PRU15: 292 kawasan dikenal pasti berpotensi cetus isu ketenteraman awam

KUALA LUMPUR,. Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengenal pasti 292 kawasan ‘panas’ di seluruh negara yang berpotensi mencetuskan isu ketenteraman awam sepanjang tempoh Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Tanpa mendedahkan butiran lanjut, Pengarah Operasi PRU15 PDRM, Datuk Seri Hazani Ghazali berkata 51 daripada kawasan itu akan diberikan perhatian khusus bagi memastikan keselamatan terjamin dan selamat.

Beliau berkata situasi pilihan raya kali ini dilihat agak mencabar dan sengit antara calon serta parti yang bertanding, ditambah pula senario semasa menjadikan faktor tercetusnya kehangatan PRU15.

“Namun begitu, PDRM telah membuat persiapan rapi daripada aspek latihan, kelengkapan aset dan mengenal pasti tempat-tempat yang menjadi kawasan yang panas.

“PDRM juga telah mengerahkan antaranya FRU (Pasukan Simpanan Persekutuan), PGA (Pasukan Gerakan Am) dan UTK (Unit Tindak Khas) memastikan tahap keselamatan sepanjang PRU15 terjamin terutamanya semasa hari pengundian Sabtu ini,” katanya semasa menjadi tetamu jemputan program ‘Peringatan PDRM kepada Calon dan Pengundi PRU15’ anjuran Nasional FM, pada Isnin.

Hazani berkata antara kesalahan yang lazim dilakukan sepanjang pilihan raya adalah mengoyakkan poster, pergaduhan, perbuatan menghasut, demonstrasi, kesalahan dalam media sosial, menghalang penjawat awam membawa peti undi ke pusat mengundi dan menghalang pengundi ke tempat mengundi serta menghalang kempen secara bergerak.

“Ini adalah kesalahan yang biasa berlaku semasa PRU dan senario yang mungkin berlaku semasa pengumuman keputusan PRU iaitu perarakan kemenangan.Perarakan protes dan rusuhan mungkin berlaku selepas itu tetapi saya percaya rakyat Malaysia ini berhemah, berdisiplin serta bertoleransi,” katanya.

Selain itu, beliau berkata PDRM juga mempertingkatkan operasi risikan dan pemantauan di kawasan sempadan negara bagi memastikan keselamatan semasa adalah terkawal.

Hazani turut memberi jaminan bahawa keselamatan pengundi sentiasa terjamin dan menasihatkan agar mengundi secara berhemah dan tidak menimbulkan sebarang provokasi.

Mengulas sekiranya berlaku banjir di sesuatu kawasan pada hari mengundi, katanya, pihaknya akan menyelaras dengan agensi tindakan bencana lain termasuk Pegawai Daerah dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) membantu mangsa banjir ke tempat mengundi.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This