PRU15: Hamzah masih berteka-teki mengenai kerusi ditandinginya

PRU15: Hamzah masih berteka-teki mengenai kerusi ditandinginya

LARUT,. Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin masih berteka-teki mengenai kerusi yang akan ditandinginya pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Beliau enggan memberi penjelasan ketika ditanya pemberita, sama ada beliau akan bertanding di kerusi Larut yang disandangnya ketika ini.

“You (awak) hendak suruh saya bertanding dekat mana,” katanya ringkas sambil ketawa kecil ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Program Retreat Media Bersama Klien dan Sahabat Kementerian Dalam Negeri di Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN) Batu Kurau hari ini.

Pada Rabu, Hamzah yang juga Setiausaha Agung Bersatu berkata parti itu tidak menolak kemungkinan berlaku pertukaran kerusi dengan Pas, sebagai strategi gabungan itu untuk memenangi PRU15.
Pada 23 Sept lepas, media melaporkan pengagihan kerusi membabitkan parti komponen Perikatan Nasional (PN) bagi menghadapi PRU15 hampir selesai dan akan dimuktamadkan.

Pada PRU14, Hamzah menang di kerusi Parlimen Larut atas tiket Barisan Nasional (BN) dalam pertembungan tiga penjuru yang juga melibatkan Pas dan PKR. Beliau kemudian mengambil keputusan untuk keluar UMNO menjadi wakil rakyat bebas sebelum menyertai Bersatu.
Ditanya mengenai seorang pemimpin Pas mendedahkan Bersatu sudah diberitahu supaya tiada pertembungan berlaku di 27 ‘kerusi kritikal’ dengan UMNO pada PRU15, beliau berkata perkara itu akan dibincangkan lebih lanjut.
“Saya akan berjumpa dengan mereka bagi menyelesaikan perkara itu. Kita akan menyusun satu strategi yang lain,” katanya.
Hari ini, Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat Mohd Zuhdi Marsuki dilaporkan berkata ia bagi memastikan kerusi berkenaan tidak jatuh ke tangan Pakatan Harapan (PH), selepas BN dan Perikatan Nasional (PN) memutuskan untuk tidak bekerjasama pada pilihan raya akan datang.
Dilapor, 27 kerusi Parlimen itu melibatkan 20 kerusi dimenangi PH susulan pertembungan Pas-UMNO, manakala baki tujuh kerusi berisiko jatuh ke tangan PH disebabkan kekalahan tipis gabungan pembangkang itu, pada PRU14.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This