PRU15: Zahid beri jaminan tiada ahli politik BN akan dilantik Ketua Pesuruhjaya SPRM

PRU15: Zahid beri jaminan tiada ahli politik BN akan dilantik Ketua Pesuruhjaya SPRM

BAGAN DATUK,. Barisan Nasional (BN) tidak akan melantik wakil rakyat atau ahli politik dalam kalangan mereka sebagai ketua pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), apabila berjaya menubuhkan kerajaan selepas memenangi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), kata Pengerusinya Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata komitmen itu adalah signal jelas mereka, dalam usaha membanteras korupsi dan persepsi rasuah di dalam gabungan tersebut serta dalam kalangan masyarakat.

“Apabila BN menjadi sebuah kerajaan kuat (selepas PRU15), kita akan ambil tindakan kepada sesiapa sahaja termasuk dari BN atau mana-mana parti, yang melakukan korupsi.

“Itu saya jamin. Kita akan pastikan anggapan itu (BN penuh rasuah) tidak akan benar, apabila tidak melantik ketua pesuruhjaya SPRM dalam kalangan ahli politik. Badan itu akan betul-betul bebas. Tiada pilih bulu dalam tindakan terhadap mereka,” katanya.

Ahmad Zahid yang juga penyandang kerusi Parlimen Bagan Datuk berkata demikian ketika ditemui media selepas mengadakan pertemuan dengan komuniti masyarakat Cina di Hutan Melintang di sini semalam.

Dilapor Ketua Penerangan Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mempersoalkan bagaimana BN dan Pakatan Harapan (PH) mahu membentuk kerajaan yang bersih, sedangkan terdapat calon pilihan raya gabungan itu masih mempunyai kes rasuah di mahkamah.

Ahmad Zahid berkata penghapusan korupsi akan menjadi komitmen BN dan bukannya retorik semata-mata, apabila badan itu akan diperhebat dari segi penguatkuasaan, pendakwaan dan siasatan secara lebih menyeluruh.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This