Pulau Besar dan Pulau Sibu di Mersing bakal dinaik taraf libat RM200 juta

MERSING,. Pulau Besar dan Pulau Sibu di Mersing yang merupakan antara destinasi terkenal tumpuan pelancong bakal dinaik taraf daripada segi kemudahan air dan utiliti dengan melibatkan peruntukan RM200,000 juta.

Pegawai Daerah Mersing Asman Shah Abd Rahman berkata peruntukan bagi tujuan pembangunan itu akan dipohon menerusi Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) dalam Rancangan Malaysia Ke-12.

“Jadi, di bawah KPLB kita akan pasang kemudahan paip air dan utiliti di Pulau Besar dan Pulau Sibu…kita merancang membangunkan dua pulau ini dahulu kerana ia lebih dekat dengan tanah besar,” katanya kepada pemberita dalam sidang media selepas majlis penyampaian hadiah pertandingan memancing Tourism Malaysia Surfcasting Tour 2020, di sini, pada Sabtu.

Turut hadir, Pengarah Kanan Bahagian Domestik dan Acara Tourism Malaysia Datuk Dr Ammar Abd Ghapar.

Asman Shah juga memaklumkan pihaknya telah mengenal pasti beberapa buah pulau daripada 93 buah berpotensi di Mersing untuk dibangunkan, namun berdepan masalah seperti tiada bekalan air dan elektrik selain saiz pulau yang kecil dan hanya lima pulau berkenaan dihuni penduduk.

“Kita sedang mengenal pasti pulau di Mersing yang boleh dibangunkan memandangkan setiap pulau ada tema, contoh Pulau Aur untuk menyelam, Pulau Pemanggil untuk memancing dan Pulau Tinggi untuk komuniti pelancongan…jadi kita akan bangunkan ikut tema,” katanya.

Sementara itu, ketika diminta mengulas mengenai pelancongan domestik, Ammar berkata, di Johor sahaja terdapat 10 buah hotel terpaksa ditutup meliputi lapan di Johor Bahru dan dua di Mersing.

Justeru, pihaknya menyeru agar orang ramai khususnya penjawat awam agar terus menyokong industri pelancongan domestik yang terjejas berikutan pandemik COVID-19 lebih-lebih lagi dengan penutupan sempadan Malaysia-Singapura.

“Oleh itu, baru-baru ini, kita lancarkan pakej untuk penjawat awam dan dapat sambutan menggalakkan,” katanya menambah penjawat awam kurang terkesan ketika pandemik COVID-19 kerana tidak dipotong gaji atau dibuang kerja.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )