Pulau Pinang tidak mudah selesa, cuba berikan aksi terbaik
GEORGE TOWN,. Pulau Pinang tidak mahu terus selesa setelah berjaya menundukkan pasukan Felda United FC (Felda FC) 3-1 dalam saingan Piala Malaysia di Stadium Bandaraya Pulau Pinang, Jumaat malam.
Ketua Jurulatihnya, Manzoor Azwira Abdul Wahid berkata pasukan yang bakal berentap pada saingan suku akhir kelak mempunyai kekuatan yang tersendiri dan tidak boleh dipandang ringan.
“Saya menyifatkan pasukan Kelantan FC mempunyai semangat juang yang tinggi selain berupaya mencipta sesuatu di luar jangkaan manakala pasukan UITM FC pula mempunyai pengalaman di Liga Super dan mempunyai rekod perlawanan yang konsisten selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
“Oleh itu, pada Ahad ini kita (Pulau Pinang) akan tahu sama ada akan berentap dengan Kelantan ataupun UiTM. Jadi, kita akan kaji dahulu dan cuba berikan yang terbaik untuk perlawanan seterusnya,” katanya kepada pemberita selepas perlawanan menentang Felda United FC.
Katanya, perkara yang perlu diberi keutamaan pada masa kini ialah untuk memastikan beberapa pemain yang tercedera semasa menentang Felda United FC berada dalam keadaan yang baik sebelum menghadapi perlawanan seterusnya.
“Melalui kemenangan ini juga, ia dilihat telah menaikkan semangat pemain dan momentum mereka untuk beraksi pada perlawanan seterusnya,” katanya.
Beliau turut menzahirkan rasa kesyukuran apabila pasukannya berjaya mara ke peringkat suku akhir dalam saingan Piala Malaysia 2020 setelah menanti peluang itu sejak 14 tahun lepas.
“Kali terakhir Pulau Pinang berjaya ke peringkat suku akhir (Piala Malaysia) adalah pada tahun 2006, jadi ini adalah pencapaian terbaik yang diberikan oleh pasukan,” katanya.
Semalam, gol pasukan Pulau Pinang berjaya disumbangkan oleh tiga pemainnya Anselmo Arruda Da Silva, Mohammad Amer Azahar dan Changhoon Lee manakala gol bagi pasukan Felda United FC dijaringkan oleh Nicolas Leandro Velez.
— BERNAMA