Purata kadar pengangguran 2024 di Malaysia diunjur 3.4 peratus – Maybank IB
KUALA LUMPUR,. Maybank Investment Bank (Maybank IB) meramalkan purata kadar pengangguran 2024 berada pada paras 3.4% disokong jurang pertumbuhan dan guna tenaga yang stabil.
Katanya, kadar pengangguran kekal 3.3% untuk bulan kelima berturut-turut pada Mac 2024, disokong oleh jurang yang stabil antara pertumbuhan guna tenaga yang terus mengatasi pertumbuhan tenaga buruh.
“Keadaan itu menyaksikan bilangan pengangguran susut 3.8% dari tahun ke tahun (YoY) dan 0.1% dari bulan ke bulan (MoM) (Mac 2024: 566,600 orang ; Februari 2024: 567,000 orang),” katanya dalam satu nota kajian, hari ini.
Menurut Jabatan Perangkaan (DOSM), pertumbuhan pekerjaan pada Mac 2024 meneruskan aliran menaiknya merentas semua sektor iaitu pembuatan, pembinaan, perlombongan & kuari, pertanian dan perkhidmatan seperti perdagangan borong & runcit, makanan & minuman dan maklumat & komunikasi.
Sementara itu, statistik pembuatan bulanan terkini untuk Mac 2024 menunjukkan momentum pertumbuhan yang mampan dalam guna tenaga pembuatan (Mac 2024: 0.5% YoY; Feb 2024: 0.5% YoY) manakala gaji & pertumbuhan gaji menjadi sederhana (Mar 2024: 0.7% YoY; Feb 2024: 1% YoY).
Bagaimanapun, trend berterusan kadar pengangguran yang rendah dan stabil serta penurunan dalam bilangan penganggur menunjukkan pekerja yang diberhentikan dapat mencari pekerjaan baharu.
Firma penyelidikan itu berkata, pengangguran belia kekal pada 10.6% untuk bulan kelima berturut-turut pada Mac 2024 (Feb 2024: 3.6%) dan kekal dalam julat 10.6%-10.8% sejak Ogos 2023, justeru masih melebihi paras terendah sebelum pandemik 9.9% dalam Disember 2019.
Sementara itu, kadar kurang guna tenaga berkaitan kemahiran turun sedikit kepada 11.8% bahagian daripada jumlah pekerja pada suku pertama 2024 (suku keempat 2023: 11.9%), tetapi kekal dalam julat 11.8%-11.9% sejak suku keempat 2022.
Segmen utama pekerjaan/pekerja tidak formal dalam ekonomi iaitu mereka yang berpendapatan harian bekerja sebagai peniaga kecil, penjaja, pengusaha gerai makanan serta pekebun kecil, pekerja sendiri dan pekerja gig telah berada dalam aliran meningkat sejak Januari 2021 (2.39 juta) dan telah mencecah paras tertinggi baharu pada 3.03 juta pada Mac 2024 (Feb 2024: 3.02 juta) kerana pertumbuhan (Mac 2024: 4.2%) mengatasi jumlah pertumbuhan guna tenaga (Mac 2024: 1.9% YoY).