PUSAKA sasar pendapatan eksport RM8 bilion setahun menjelang 2030
KUCHING,. Perbadanan Kemajuan Perusahaan Kayu Sarawak (PUSAKA) menyasarkan pendapatan eksport berjumlah RM8 bilion setahun menjelang 2030 selaras dengan perancangan jangka panjang melalui Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030.
Pengurus Besar PUSAKA Datu Hashim Bojet berkata, sasaran ini memberi fokus kepada lima bidang, pertama memperkasakan industri panel untuk menjana pendapatan eksport antara RM2.5 bilion dan RM3 bilion.
Fokus sasaran kedua katanya, menggalakkan pembangunan industri kayu kejuruteraan kepada nilai tambah kayu gergaji daripada RM700 juta kepada RM1 bilion dan ketiga membangunkan industri perabot untuk menjana pendapatan eksport RM4 bilion menjelang 2030.
Manakala, fokus keempat meningkatkan industri biojisim hijau untuk mencapai pendapatan eksport RM0.5 bilion serta fokus kelima membangunkan industri berasaskan buluh untuk menjana pendapatan eksport RM200 juta hingga RM500 juta.
Untuk mendorong pasaran eksport tersebut, PUSAKA menurut Hashim akan memberi fokus kepada lapan bidang, pertama memudahkan pelaburan dalam Taman Perabot, kedua pembangunan infrastruktur untuk Taman Perabot dan ketiga pelaburan dalam kayu kejuruteraan.
PUSAKA menurut Hashim, juga akan fokus kepada pelaburan dalam industri buluh meliputi perladangan, pembuatan dan penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta memperkukuh pengurusan bahan mentah yang mampan daripada lesen hutan tanam (LPF).
Lagi fokus untuk membangunkan mekanisme menggunakan kayu getah di hiliran pemprosesan, menganjurkan lebih banyak kerjasama dengan universiti dan institut penyelidikan tempatan serta program penglibatan komuniti.
“Sempena sambutan Jubli Emas Ke-50 PUSAKA tahun ini dan selaras dengan peranan dan tanggungjawab yang semakin berkembang, PUSAKA telah merangka Visi, Misi dan Slogan PUSAKA yang baharu bertepatan dan seiring dengan keadaan dan persekitaran semasa.
“Selaras dengan visi, misi dan slogan baharu PUSAKA, industri hiliran perkayuan di Sarawak perlu transformasi ke arah industri perkayuan yang maju dan lestari bagi memastikan penggunaan sumber bahan mentah ke arah pulangan yang optimum,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Khas PUSAKA dan Pelancaran Sambutan Perayaan Jubli Emas Ke-50 di Dewan Seminar PUSAKA di sini, semalam.
Majlis tersebut dihadiri Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan yang juga Pengerusi Lembaga Pengurusan PUSAKA.
Visi PUSAKA, Transformasi Ke Arah Industri Perkayuan Yang Maju dan Lestari, misinya Memudahkan Transformasi Industri Perkayuan Yang Lestari dan slogan Memacu Kelestarian.
Terdahulu, Hashim berkata, tahun 2022 merupakan tahun yang mencabar kepada industri perkayuan bagi mengharungi pasaran global barangan kayu dalam tempoh endemik COVID-19.
Walaupun batasan pergerakan telah ditamatkan namun kesan pandemik dan sekatan pergerakan masih terkesan oleh pemain-pemain industri, secara peratusannya, operasi pengilangan dan eksport telah mengalami pengucupan sebanyak 20 hingga 30 peratus.
Bagaimanapun katanya, jumlah nilai bagi tahun 2022 telah mencatat peningkatan daripada RM3.7 bilion kepada RM3.95 bilion pada tahun 2022 disebabkan kadar tukaran wang asing meningkat pada kadar purata RM4.30 untuk AS$1.