Pusat beli-belah telah ambil tindakan kekang penularan COVID-19

Pusat beli-belah telah ambil tindakan kekang penularan COVID-19

KUALA LUMPUR, 28 Sept — Pusat beli-belah telah menekankan bahawa perlindungan dan keselamatan pembeli sebagai keutamaan pada setiap masa dan telah mengambil kesemua tindakan yang perlu, bagi mengekang jangkitan COVID-19.

Persatuan Pusat Beli-Belah Malaysia (PPK) dalam satu kenyataan malam ini menyatakan, pensanitasian, proses penyahkuman dan pembersihan pada kawasan yang dikunjungi mereka yang telah dijangkiti COVID-19, telah dilakukan mengikut garis panduan yang ditetapkan Kementerian Kesihatan.

“Keselamatan kesemua kakitangan, penyewa, pelawat dan pelanggan adalah keutamaan dan pusat beli-belah sentiasa mematuhi SOP yang ditetapkan.

“Ini termasuklah pengesanan kontak, pemeriksaan suhu, pemakaian pelitup muka, penyediaan cecair pensanitasi di pintu masuk dan tempat-tempat strategik untuk pengunjung dan juga kakitangan,” menurut kenyataan itu lagi.

PPK menyatakan, selepas pengunjung melepasi pintu masuk, peniaga sekali lagi mengikut prosedur yang sama dengan melakukan pengesanan kontak dan cecair pensanitasi di pintu masuk kedai (dengan pemeriksaan suhu sebagai pilihan, di mana penggunaan kod QR membolehkan pengesanan kontak dilakukan).

“Jadi ada pemeriksaan berganda untuk memberikan keyakinan dan keselamatan orang ramai. Kami yakin dengan pemeriksaan ketat dan pemerhatian oleh kerajaan kita, orang ramai dan komuniti perniagaan, pendemik yang tidak pernah terjadi ini, akan dapat diatasi dalam masa terdekat,” katanya.

Sejumlah kes COVID-19 melibatkan kakitangan di lima pusat beli-belah di Lembah Klang telah dilaporkan sejak 10 hari yang lepas.

— BERNAMA

CATEGORIES
Share This