Pusat undi awal anggota tentera dirancang rapi, patuhi SOP

Pusat undi awal anggota tentera dirancang rapi, patuhi SOP

MELAKA,. Tujuh pusat pengundian awal bagi anggota tentera pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka telah melalui proses perancangan rapi bagi memastikannya mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan pihak berkuasa, kata Panglima 3 Divisyen Infantri Mej Jen Datuk Tengku Muhammad Fauzi Tengku Ibrahim.

Beliau berkata proses perancangan berkenaan antara lain melibatkan pihak tentera sendiri, petugas Suruhanjaya Pilihan Raya, Kementerian Kesihatan dan polis bagi memastikan perjalanan undi awal hari ini berjalan lancar.

“Saya memberi jaminan bahawa apa yang dilaksanakan pada hari ini, selamat kerana proses-proses pematuhan SOP COVID-19 itu dilaksanakan seketat-ketatnya.

“Terdapat pemeriksaan suhu dan kepada mereka yang didapati atau disyaki bergejala, tempat khusus untuk mereka mengundi pun disediakan. Penjarakan fizikal juga ditentukan,” katanya kepada pemberita selepas mengundi di Sekolah Kebangsaan Kem Terendak 2, di sini hari ini.

Tengku Muhammad Fauzi berkata proses pengundian awal dalam kalangan anggota tentera dilaksanakan secara berfasa dengan pengundi dilepaskan masuk ke pusat mengundi sedikit demi sedikit.

Sementara itu, pemerhatian Bernama mendapati proses pengundian awal di sini berjalan lancar tanpa individu bergala dikesan setakat 10 pagi ini.

Proses pengundian awal PRN Melaka bermula 8 pagi ini yang menyaksikan 11,557 anggota polis, tentera dan pasangan mereka menunaikan tanggungjawab masing-masing.

PRN Melaka diadakan berikutan pembubaran Dewan Undangan Negeri pada 4 Oktober lepas selepas empat Ahli Dewan Undangan Negeri menarik sokongan terhadap Ketua Menteri Datuk Seri Sulaiman Md Ali. SPR menetapkan hari pengundian pada 20 November ini.

PRN Melaka kali ini menyaksikan seramai 112 calon layak bertanding, melibatkan pertandingan enam penjuru di tiga kawasan DUN, lima penjuru (lima), empat penjuru (sembilan) dan tiga penjuru (11), dengan 28 calon masing-masing daripada Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN) dan PH, Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) (lima), Parti Perikatan India Muslim Nasional (IMAN) (satu) dan Bebas (22).

— Bernama

CATEGORIES
TAGS
Share This