Pusat visa Malaysia berwajah baharu dibuka di Delhi

NEW DELHI,. Sebuah pusat sehenti bagi perkhidmatan visa Malaysia dibuka di New Delhi hari ini dengan menampilkan wajah baharu yang membawa pengunjung ‘menikmati suasana berada di Malaysia’.

Pusat itu, diuruskan oleh sebuah firma menerusi penyumberan luar dan terletak di tengah-tengah Delhi, dilengkapi kemudahan untuk pemohon memohon visa Malaysia bagi kategori berbeza secara lebih mudah.

Ia dirasmikan oleh Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di India, Datuk Hidayat Abdul Hamid.

Walaupun kerajaan Malaysia memudahkan permohonan visa dengan memperkenalkan perkhidmatan dalam talian eNTRI dan eVISA sejak Mac 2016 untuk mempelawa lebih ramai pelancong India namun pusat visa Delhi akan memenuhi pelbagai jenis permohonan.

“Ada permintaan supaya diwujudkan kemudahan fizikal bagi urusan permohonan visa daripada ejen pelancongan dan individu. Kami juga menawarkan perkhidmatan bagi segmen lain seperti visa kerja dan mereka yang membuat perjalanan bagi tujuan pendidikan dan perubatan,” kata Ketua Wilayah bagi VFS Global, Alok Singhal.

VFS Global, merupakan antara rakan kongsi dalam usaha ini.

Pusat itu turut dihiasi objek dan gambar yang mudah dikaitkan dengan Malaysia bertujuan menawan hati pemohon visa menerusi wajah baharu mengenai destinasi menarik yang menanti mereka di Malaysia.

Ia termasuk lukisan, wau bulan dan beca Pulau Pinang yang ikonik.

Chennai dan Mumbai merupakan dua bandar lain di India yang menempatkan pusat pemprosesan permohonan visa Malaysia.

Operasi pusat sehenti berkenaan bermula di India sejak tiga tahun lepas. Pusat itu menerima lebih 70,000 pernohonan visa bagi tempoh Januari hingga Ogos tahun ini.

— BERNAMA

Oleh Shakir Husain

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )