Rafiq, Li Jane sah ke Sukan SEA Filipina

Rafiq, Li Jane sah ke Sukan SEA Filipina

KUALA LUMPUR,. Juara dunia 2018, Rafiq Ismail dan Sin Li Jane bakal membawa cabaran negara pada Sukan SEA Filipina, November ini.

Pemilihan Rafiq dan Li Jane yang merupakan anggota skuad negara muncul juara dunia berpasukan pada 2017 itu diumumkan jurulatih kebangsaan, Holloway Cheah pada sidang media Team Malaysia ke Sukan SEA 2019 di Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil, di sini, hari ini.

Sementara enam lagi pemain akan dipilih oleh Kongres Tenpin Boling Malaysia (MTBC) selepas penganjur mengumumkan jenis lorong yang bakal digunakan pada temasya dwitahunan itu.

Pengurus pasukan, Maradona Chok, bagaimanapun, berkata, persiapan untuk ke Sukan SEA 2019 sudah pun bermula walaupun senarai akhir nama atlet yang bakal ke Filipina masih belum diputuskan.

“Kita sedang mencari pasukan terbaik tapi malangnya jenis lorong masih belum diumumkan. Itu merupakan isu utama dalam sukan boling. Jadi kita masih mencari siapa pemain terbaik untuk dipilih berdasarkan kepada jenis lorong itu,” katanya.

Chok menjangkakan skuad negara bakal menerima tentangan sengit daripada pasukan lain pada temasya di Filipina berbanding edisi di Kuala Lumpur, dua tahun lepas.

Ini disebabkan hanya lapan pemain (empat lelaki dan empat wanita) dipilih untuk beraksi di Sukan SEA Filipina berbanding 12 pemain (enam lelaki dan enam wanita) sebelum ini, katanya.

“Semua pasukan ada peluang yang seimbang dengan bilangan empat pemain wanita dan empat pemain lelaki. Pencabar kita mungkin pasukan Thailand, Indonesia dan Singapura,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Holloway mengakui beliau perlu lebih berhati-hati dalam proses pemilihan atlet yang bakal membawa cabaran negara di Filipina nanti.

Katanya, pemilihan Rafiq dan Li Jane yang diumumkan lebih awal berbanding pemain lain kerana kedua-dua mereka mempunyai kelebihan bermain di pelbagai permukaan lorong.

Sebelum ini, MTBC mengumumkan sasaran empat pingat emas daripada sembilan acara yang akan dipertandingkan pada temasya sukan itu.

Pada edisi 2017 di Kuala Lumpur, skuad negara meraih tujuh daripada 11 pingat emas, selain memenangi empat perak dan tiga gangsa.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This