Raja Permaisuri Agong imbas kembali pertemuan manis bersama anak istimewa
KUALA LUMPUR,. Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah menzahirkan rasa terharu dan gembira, apabila dapat bertemu semula dengan seorang anak istimewa Tay Xiu Jin yang dikenali Seri Paduka Baginda, lapan tahun lepas.
Pertemuan bersama Tay yang kini berusia 24 tahun itu, berlaku sewaktu Seri Paduka Baginda sedang membeli kuih muih menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri di Johor Baharu, baru-baru ini.
“Saya sungguh terharu dan gembira apabila beliau masih ingat saya. Ini merupakan satu pertemuan yang cukup manis.
“Sebagaimana yang sentiasa ditegaskan oleh Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim, betapa pentingnya perpaduan antara kaum dan untuk menghormati semua golongan masyarakat.
“Pada masa yang sama, jangan kita melupakan insan-insan istimewa ini,” titah Raja Zarith Sofiah kepada Royal Press Office (RPO), yang dimuat naik dalam hantaran yang dikongsikan melalui laman Facebook rasmi Sultan Ibrahim Sultan Iskandar semalam.
Pertemuan pertama Seri Paduka Baginda bersama Tay ialah pada 24 Jan 2016, ketika insan istimewa itu berusia 16 tahun, sewaktu Seri Paduka Baginda merupakan Permaisuri Johor berangkat meraikan 350 ahli Kelab Kiwanis Johor Bahru sempena sambutan tahunan kanak-kanak di sebuah taman tema di Johor Bahru.
Menurut hantaran itu, Raja Zarith Sofiah amat dekat dihati anak-anak istimewa sejak dahulu lagi, malah Seri Paduka Baginda amat menitikberatkan kebajikan mereka.
Selain itu, Seri Paduka Baginda sentiasa berangkat melawat serta beramah-mesra bersama anak-anak istimewa di Johor.
–BERNAMA