Rakan kongsi Bintai Kinden meterai perjanjian bagi bangun, komersialkan vaksin COVID-19

KUALA LUMPUR,. Rakan kongsi Bintai Kinden Corporation Bhd, Generex Biotechnology Corporation, menandatangani Perjanjian Rangka Kerja untuk pembangunan dan pengkomersialan vaksin koronavirus Ii-Key-SARS-CoV-2 di China.

Perjanjian itu ditandatangani dengan Chinese Center for Disease Control and Prevention (China CDC), Beijing Guoxin Haixiang Equity Investment Partnership dan Beijing Youfeng International Consulting Co Ltd.

Dalam kenyataan hari ini, Bintai Kinden berkata di bawah perjanjian itu, Generex akan menerima yuran pembangunan pendahuluan dan pembayaran pelesenan.

Sementara itu, rakan kongsi akan menjalankan penyelidikan dan pembangunan serta membayar 100 peratus daripada dana yang diperlukan untuk kelulusan komersial vaksin Ii-Key-CoV-2, termasuk kerja-kerja makmal, pembuatan, pemfailan kawal selia dan program pembangunan klinikal untuk kelulusan kawal selia vaksin di China.

Katanya vaksin Ii-Key-SARS-CoV-2 dihasilkan sebagai “vaksin yang lengkap” yang mempunyai potensi untuk mendorong tindak balas imun T-Cell dan antibodi dengan cara yang amat spesifik yang dapat memberikan imuniti pelindung dengan ingatan imunologi jangka panjang terhadap SARS-CoV-2 dan ancaman pandemik yang lain seperti COVID-19 dan selesema babi.

Pengarah Urusan Ong Choon Lui berkata kerjasama antara Generex, China CDC, Beijing Guoxin Haixiang dan Beijing Youfeng mengesahkan potensi teknologi Ii-Key dalam membangunkan vaksin yang selamat dan berkesan untuk penyakit berjangkit dan barah.

“Penglibatan dana milik negara China dan kerjasama di peringkat kerajaan yang tertinggi melalui China CDC meningkatkan kemungkinan kejayaan usaha pengkomersialan vaksin,” katanya.

Bintai Kinden berkata anak syarikatnya, Bintai Healthcare Sdn Bhd, telah menandatangani perjanjian dengan Generex dan anak syarikatnya, NuGenerex Immuco-Oncology Inc pada Oktober untuk pengedaran dan pelesenan vaksin COVID-19 mereka di Malaysia.

Katanya perjanjian itu memberikan hak eksklusif kepada Bintai Healthcare untuk mengedar, menjual dan mengkomersialkan vaksin COVID-19 di Malaysia, Brunei, Myanmar, Kemboja, Timor-Leste, Indonesia, Laos, Filipina, Singapura, Thailand dan Vietnam.

“Ia juga akan mempunyai hak kepada penolakan pertama untuk menggunakan vaksin secara komersial di New Zealand, Australia dan pasaran halal global,” katanya.

China CDC adalah sebuah organisasi kerajaan dan organisasi teknikal peringkat nasional khusus dalam kawalan penyakit dan pencegahan serta kesihatan awam dan Beijing Guoxin Haixiang ialah sebuah perkongsian yang ditubuhkan untuk membiayai usaha penyelidikan dan pembangunannya.

Sementara itu, Beijing Youfeng adalah Jawatankuasa Kerja Kesihatan Awam Masyarakat Penyelidikan Perindustrian Teknologi Tinggi China yang menyediakan perundingan dan reka bentuk strategi pembangunan, pelaksanaan dan pengurusan projek.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )