Rakyat diingatkan tidak leka sambutan Ramadan – Dr Noor Hisham

Rakyat diingatkan tidak leka sambutan Ramadan – Dr Noor Hisham

KUALA LUMPUR,. Orang ramai diingatkan agar tidak leka ketika menyambut Ramadan dan mengambil iktibar daripada penyebaran COVID-19 menerusi aktiviti sosial seperti mengunjungi rumah rakan dan saudara serta perjalanan rentas negeri atau menghadiri perhimpunan besar-besaran.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah., berkata masyarakat dinasihatkan supaya sentiasa berwaspada dan mengelakkan kawasan sesak, sempit dan sembang dalam jarak dekat memandangkan jumlah kes harian COVID-19 masih tidak stabil di beberapa negeri.

“Ini termasuk keluar dari rumah tanpa ada keperluan yang penting, menghadiri perhimpunan atau keraian berbuka puasa secara besar-besaran dan bersesak-sesak di bazar Ramadan.

“KKM (Kementerian Kesihatan) khuatir aktiviti-aktiviti yang tidak terkawal seperti ini akan mengakibatkan peningkatan penularan jangkitan COVID-19 di dalam komuniti,” katanya dalam satu kenyataan mengenai perkembangan COVID-19 pada Isnin (12 April)

Sebelum ini, Majlis Keselamatan Negara mengumumkan kebenaran operasi bazar Ramadan pada tahun ini selain aktiviti di masjid dan surau termasuk solat tarawih dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) ketat.

Dr Noor Hisham berkata masyarakat dinasihatkan terus mematuhi SOP Aktiviti Masjid dan Surau dan SOP Sektor Makanan Bazar Aidilfitri dan Bazar Ramadan yang ditetapkan agar negara dapat melandaikan keluk pandemik COVID-19.

Sementara itu, Dr Noor Hisham mengingatkan masyarakat agar mengamalkan keselamatan makanan bagi memastikan makanan bersih dan selamat.

Langkah itu termasuk menggunakan bahan mentah segar dan air bersih, menggunakan peralatan berasingan untuk makanan mentah bagi mengelakkan pencemaran, memasak makanan dengan sempurna dan makan dalam tempoh tidak melebihi empat jam dan menyimpan makanan pada suhu bersesuaian serta tidak melebihi tiga hari dalam peti sejuk.

KKM juga berharap masyarakat sentiasa mengambil makanan sihat dan seimbang pada setiap masa dengan mengamalkan konsep 3M iaitu masak di rumah jika boleh, makan buah-buahan dan sayur-sayuran setiap hari dan minum air kosong sekurang-kurangnya lapan gelas sehari.

Noor Hisham turut mengucapkan selamat menyambut Ramadan kepada semua rakyat Malaysia.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This