
Rakyat Sabah Beruntung Mempunyai Peluang Untuk Ubah Balik – Mohamad
PUTATAN, 17 Sept – Rakyat Sabah beruntung kerana mempunyai peluang untuk melakukan perubahan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang akan berlangsung pada 26 September depan dan peluang berkenaan perlu digunakan sebaik mungkin.
Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamad Hasan berkata peluang yang ada di depan mata itu hadir di celah-celah krisis kepercayaan dan tahap kepercayaan rakyat kepada kerajaan negeri hari ini.
‘’Dua tahun di bawah pentadbiran Pakatan Harapan (PH) dan Warisan tidak beleh kata mereka bukan sebahagian daripada PH…mereka main silap mata. PH adalah pakatan yang gagal tadbir negara…diberi peluang tadbir negara dan Sabah, berjanji bulan dan bintang…tidak ada lagi bayaran PTPTN…felda..dan sebagainya lagi…begitu juga tol dan harga minyak.
‘’Jelas sekali mereka bukan sahaja gagal tunai janji manis sehigga kita terlena dengan janji mereka termasuk janji ketua menteri Sabah…seolah-olah kerajaan akan hapuskan bebanan rakyat namun dua tahun rakyat semakin susah dan menderita,’’ katanya.
Beliau berkata pada kempen bersama calon BN Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Keramat, Ir Shahelmey Yahya di PDM Lok Kawi, di sini, malam tadi.
Mohamad seterusnya menambah pengundi di Sabah perlu menggunakan kesempatan ini kerana jika mengikut tempoh penggal ianya akan berakhir pada 2023 tetapi dengan adanya peluang pada 26 September nanti ianya adalah peluang dan ruang yang terbaik.
‘’Gunakan peluang ini…kita dah tersilap 2018 dan jangan kita silap lagi… dulu Sabah Ubah tetapi kali ini kita ubah balik. Apabila diberi peluang mentadbir mendatangkan kemudaratan kepada rakyat cukuplah…pada kali ini kita ubah sama-sama,’’ ujarnya.
– UMNO Online