Rakyat Sabah jangan terpedaya dengan ‘parti sesumpah’ – Perwakilan PAS Sabah

KOTA BHARU, 13 Sept — Perwakilan PAS Sabah Dr Aliakbar Gulasan mengingatkan rakyat Sabah untuk tidak terperdaya dengan “parti sesumpah” pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.

“Masyarakat di Sabah perlu berhati-hati memandangkan ada parti Semenanjung yang menggunakan bendera parti lokal yang mana mereka ini tidak yakin dengan bendera sendiri …takut akan kalah.

“Rakyat Sabah jangan tertipu dengan keadaan ini kerana mereka sebenarnya berpura-pura, umpama sesumpah yang boleh bertukar warna pada bila-bila masa sahaja,” katanya ketika membahaskan usul terima kasih ucapan presiden pada Muktamar Tahunan PAS ke-66, di Pusat Tarbiah Islam Kelantan (PUTIK), di sini, hari ini.

Oleh itu, katanya masyarakat Sabah perlu memberi sokongan penuh pada Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN) pada PRN 26 Sept ini.

Terdahulu, perbahasan berkenaan disertai 18 perwakilan dan setiap perwakilan diberikan tempoh selama lima minit sahaja malah kehadiran juga dihadkan susulan pematuhan terhadap prosedur operasi standard (SOP) bagi membendung penularan COVID-19.

Dr Aliakbar dalam perbahasannya turut menegur segelintir kepimpinan PAS supaya berhati-hati ketika mengeluarkan kenyataan untuk mengelakkan salah faham.

“Kami berada di Sabah dan Sarawak berhadapan dengan pelbagai masyarakat dan kaum yang mungkin bahasa yang digunakan sesuai di Kelantan dan Terengganu, namun sangat tidak sesuai di Sabah dan Sarawak yang sekali gus boleh menimbulkan sentimen dan konflik.

“Yang berhadapan dengan masyarakat adalah kami yang membawa PAS di Sabah, sebab itulah sentimen ini kadang kala kita rasa kecil tetapi sebahagiannya boleh menjadi satu sentimen yang besar bagi segelintir masyarakat sekali gus boleh menyebabkan PAS disalah anggap sesetengah masyarakat,” katanya.

Sementara itu, perwakilan Kelantan Datuk Hassan Mahmood mengingatkan semua ahli supaya patuh dengan keputusan yang dibuat kepimpinan tertinggi parti termasuk keputusan tidak bertanding di Sabah, walaupun ada segelintir yang tidak bersetuju.

“Semua ahli perlu akur dan patuh kepada ketua selama mana keputusan arahan pimpinan tidak bercanggah. Untuk lahirkan rasa kecewa boleh, namun untuk menentang tidak harus berlaku,” katanya.

— BERNAMA

CATEGORIES
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )