Rangka Tindakan Sarawak Lestari, langkah strategik pacu pertumbuhan

Rangka Tindakan Sarawak Lestari, langkah strategik pacu pertumbuhan

KUALA LUMPUR,. Hasrat kerajaan negeri Sarawak untuk membangunkan Rangka Tindakan Sarawak Lestari merupakan langkah strategik bagi memacu pertumbuhan, menurut RAM Holdings Bhd (RAM).

Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Eksekutif Kumpulan, Chris Lee berkata langkah perintis Sarawak itu akan bersesuaian dengan pemangkin kewangan lestari yang pesat digunakan oleh sektor perbankan dan pasaran modal Malaysia.

“Ini akan mencetuskan minat kukuh para pelabur di Sarawak dan menarik minat yang berterusan di pasaran modal hutang Malaysia, yang penting untuk membiayai projek jangka panjang yang telah merangsang kemajuan ekonomi negeri,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Sarawak, Dr Hazland Abang Hipni berkata, di bawah rangka tindakan itu, Sarawak akan menumpukan kepada tiga sumber tenaga hijau bersih iaitu hidrokuasa, tenaga solar dan hidrogen.

Beliau berkata kerajaan negeri berharap penilaian alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) akan terus dilaksanakan di negeri itu, sekali gus meletakkan Sarawak sebagai antara pelopor dunia dalam usaha sedemikian.

“Kami berada di landasan yang tepat untuk menambah baik alam sekitar dan menuju masa depan yang lebih lestari,” katanya.

Sejak 1993, RAM telah memberi penarafan secara kumulatif kepada lebih RM31 bilion program bon dan sukuk daripada penerbit berkaitan Sarawak.

Sarawak juga merupakan negeri pengeluar yang merintis pasaran bon ringgit dan mata wang asing melalui pelbagai syarikat tujuan khas.

Baru-baru ini, Sarawak Petchem Sdn Bhd, milik bersama Permodalan Satok Bhd dan Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak mengumumkan cadangan Sukuk Wakalah bernilai RM6 bilion yang diberi penarafan AAA oleh RAM.

“Pada Oktober 2020, Sarawak Energy Bhd meraih kredit pusingan berkaitan kemampanan daripada bank utama Malaysia, menjadikannya sebagai syarikat utiliti pertama di negara ini dan syarikat Malaysia Timur yang mendapat pinjaman berkaitan sasaran prestasi kemampanan boleh diukur.

“Pinjaman itu adalah seiring dengan komitmen Sarawak Energy untuk memastikan intensiti pelepasan gridnya selari dengan Perjanjian Paris dan ikrar untuk mencapai objektif inisiatif Cita-Cita Perniagaan bagi 1.5 Celcius,” kata RAM.

Katanya kemudahan itu akan memastikan Sarawak Energy berada di landasan untuk mencapai matlamatnya mengelektrikkan sepenuhnya negeri itu menjelang 2025.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This