Rasuah: Berhenti sebelum SPRM datang – Aminuddin

Rasuah: Berhenti sebelum SPRM datang – Aminuddin

SEREMBAN,. Penjawat awam Negeri Sembilan yang berniat untuk melakukan penyelewengan dan rasuah dinasihatkan supaya berhenti sebelum dicekup Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun berkata SPRM diberi kuasa penuh untuk terus menyiasat mana-mana penjawat awam di negeri ini sekiranya ada yang terlibat dalam perbuatan tidak bermoral itu.

“Semasa pelancaran Pangkalan Data Utama (PADU), Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berterima kasih kepada SPRM dan polis kerana begitu tegas kepada pelaku rasuah dan memberi kuasa penuh untuk menjejaki individu yang terlibat dengan rasuah dalam kementerian.

“Saya juga sealiran dengan beliau..jika ada yang sedang berniat atau sedang merancang untuk tujuan tersebut, lebih baik berhenti sebelum SPRM datang ke pejabat anda,” katanya ketika berucap pada Perhimpunan Pentadbiran Kerajaan Negeri Sembilan 2024 di sini hari ini.

Beliau turut menyeru penjawat awam supaya mengamalkan urus tadbir yang baik, mengelakkan pembaziran dan mencegah ketirisan selain memastikan setiap ringgit hasil kerajaan negeri dibelanjakan mengikut keperluan.

Jelas beliau, Negeri Sembilan telah melonjakkan hasil negeri daripada RM400 juta ke RM500 juta dalam tempoh lima tahun berikutan kesepakatan dalam mengurus tadbir kewangan.

Dalam pada itu, Aminuddin turut meminta penjawat awam untuk memperkasa usaha menangani kos sara hidup rakyat dan mencari kaedah terbaik supaya masyarakat tidak terlalu terbeban dengan kenaikan harga barang di samping memastikan bekalan makanan mencukupi.

Beliau berkata mereka perlu bekerjasama dengan agensi yang memberi perkhidmatan terus kepada rakyat seperti Baitulmal Negeri Sembilan dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), sekali gus memastikan kekayaan harta negeri ini tidak berlegar dalam golongan tertentu sahaja.

“Pelbagai program pemerkasaan ekonomi rakyat berjaya dilaksanakan sejak 2018 termasuk bantuan modal untuk usahawan, Bantuan Anak Sekolah, Biasiswa Anak Negeri dan pemberian subsidi Rumah Harapan,” katanya.

Penjawat awam juga katanya perlu memastikan sistem penyampaian awam di negeri ini diperhebat demi mengoptimumkan sumber kerajaan untuk manfaat rakyat selain mencanai minda bagi mendepani cabaran.

Saya dimaklumkan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Mohd Zafir Ibrahim yang mengumumkan pelaksanaan jadual waktu bekerja fleksibel (BWF) bagi warga perkhidmatan awam negeri bermula 15 Jan ini, jadi saya harap ia dimanfaatkan sebaiknya oleh penjawat awam,” katanya.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This