
Rayuan difailkan Petronas dalam proses ditarik balik
KUCHING,. Rayuan yang difailkan oleh Petroliam Nasional Berhad (Petronas) mengenai Cukai Jualan Negeri (SST) terhadap Sarawak adalah semasa Pakatan Harapan memerintah, iaitu sebelum sebarang persetujuan dicapai antara kedua-dua pihak.
Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg yang menjelaskan berkata, Petronas kini masih dalam proses menarik balik rayuan berkenaan yang perlu mengambil masa mengikut prosedur oleh mahkamah.
“Ia adalah rayuan mereka sebelum ini, iaitu sebelum pertukaran kerajaan (persekutuan) dan apabila kerajaan bertukar persetujuan telah dibuat dan Petronas perlu patuh kepada keputusan mahkamah.
“Mereka perlu mengikut prosedur mahkamah untuk menarik balik rayuan yang difailkan itu dan kita dimaklumkan mereka sedang dalam proses (tarik balik),” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tertinggi Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) di ibu pejabat PBB di sini, hari ini.
Malahan kata Abang Johari rayuan yang difailkan itu adalah sebelum kenyataan bersama Petronas dengan Menteri Muda di Jabatan Ketua Menteri (Undang-Undang, Hubungan Kerajaan Negeri-Persekutuan dan Pemantauan Projek), Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali pada 8 Mei lepas.
Beliau berkata sejurus sahaja proses menarik balik rayuan berkenaan, beliau yakin Petronas akan membayar balik tuntutan SST berjumlah lebih RM2.8 bilion bagi tahun 2019.
Pada Jumaat, sebuah portal melaporkan Mahkamah Rayuan telah menetapkan 23 Jun untuk mendengar rayuan Petronas terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuching tiga bulan lalu bahawa Sarawak berhak mengutip cukai jualan ke atas produk petroleum.
Portal berkenaan memetik laman sesawang senarai sebab (cause list) Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan dimana perbicaraan itu dijadualkan berlangsung di Putrajaya.
Bagaimanapun Petronas pada 8 Mei lalu yang menyebut syarikat minyak kebangsaan itu telah bersetuju untuk membayar sepenuhnya cukai jualan produk petroleum yang dikenakan oleh Sarawak bagi tahun 2019, berjumlah lebih RM2 bilion atau lima peratus daripada nilai jualan produk.
Kenyataan bersama itu menyebut Petronas sudah menarik balik rayuannya terhadap keputusan oleh Mahkamah Tinggi Sarawak untuk menolak permohonan Petronas bagi semakan semula kehakiman untuk mengisytiharkan Cukai Jualan Negeri yang dikenakan oleh kerajaan Sarawak sebagai batal dan tidak sah.
Sebagai balasan, kerajaan Sarawak telah menggugurkan semua tuntutan ke atas kes sivilnya terhadap Petronas bagi pembayaran cukai jualan produk petroleum.