Rayzam Shah, Fatin Nurfatehah Olahragawan dan Olahgarawati Sabah 2017/2018

Rayzam Shah, Fatin Nurfatehah Olahragawan dan Olahgarawati Sabah 2017/2018

KOTA KINABALU,. Atlet olahraga Rayzam Shah Wan Sofian dan atlet memanah Fatin Nurfateha Mat Salleh masing-masing dinobatkan sebagai Olahragawan dan Olahragawati Sabah pada majlis Anugerah Sukan Negeri Sabah 2017/2018 di sini, malam ini.

Kedua-dua atlet tersebut menerima trofi daripada Yang di-Pertua Negeri Tun Juhar Mahiruddin.

Rayzam Shah, 31, atlet olahraga acara 110 meter berpagar berasal dari Keningau pernah meraih pingat emas pada Kejohanan Sukan SEA 2017 di Kuala Lumpur.

Dia juga berjaya memecahkan rekod kebangsaan dengan memadamkan rekod 23 tahun acara 110 meter berpagar di Kejohanan Kurpfalz Gala, di Jerman pada 2017.

Beliau juga merupakan pemenang dua pingat emas pada Sukan SEA 2017 Kuala Lumpur dan juga 2007 di Korat, Thailand.

Fatin Nurfatehah pula mempamerkan keputusan cemerlang dengan dua emas dan satu perak pada Sukan SEA 2017, ranking keempat dalam acara individu pada kejohanan Ranking Dunia Piala Asia, dan menyertai Piala Dunia Memanah Hyundai (Peringkat 2) 2018 di Shanghai China dan Sukan Asia di Jakarta.

Sementara itu, Eddy Bernard dan Doriah Paulus, kedua-duanya atlet olahraga dinamakan sebagai olahragawan lelaki dan olahragawati wanita paralimpik terbaik.

Anugerah berpasukan lelaki dan wanita terbaik dinobatkan kepada pasukan hoki lelaki dan pasukan sepak takraw wanita Sukma Perak 2018.

Atlet terjun, Gabriel Gilbert Daim menerima anugerah olahragawan harapan lelaki, manakala Nor Farah Mazlan atlet pencak silat, olahragawati harapan wanita.

Jurulatih muaythai Sabah Cyrille Dhillon Tahing menerima anugerah jurulatih sukan terbaik.

Anugerah persatuan sukan terbaik diberikan kepada Persatuan Gimnastik Negeri Sabah.

Presiden Persatuan Muaythai Malaysia Nazri Ab. Razak dinamakan penerima anugerah kepimpinan sukan.

David Wang Chung Vun, Presiden Persekutuan Shorinji Kempo Malaysia dinamakan tokoh sukan Sabah.

Terdahulu, Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Afdal ketika berucap pada majlis itu berkata kerajaan negeri akan mempastikan prasarana sukan di negeri ini ditingkatkan, penting dalam melahirkan atlet cemerlang.

Katanya, dorongan dan inisiatif sahaja tidak mencukupi dalam menjayakan sukan di negeri ini tanpa kemudahan prasarana yang mencukupi.

“Kementerian Belia dan Sukan Sabah telah diminta menyediakan blue print mengenai pembangunan sukan di negeri ini termasuk membabitkan usaha meningkatkan prasarana sukan,” katanya.

Mohd Shafie berkata kerajaan negeri berbangga dengan kejayaan atlet negeri ini dalam kejohanan sukan di negara ini dan mewakili negara di kejohanan antarabangsa.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This