Remaja hidup dengan paru-paru 70 tahun akibat vape
CHICAGO,. Seorang remaja nyaris maut apabila paru-parunya terjejas teruk akibat ketagihan melampau rokok elektronik atau ‘vape’.
Adam Hergenreder, 18, dari Illinois, Amerika Syarikat (AS) menjadi pengguna tegar vape sejak 18 bulan lalu sebelum menghidap penyakit paru-paru dan dimasukkan ke hospital minggu lepas.
Adam yang dahulunya aktif bersukan kini terlantar di hospital setelah jangkitan menyebabkan paru-parunya berfungsi seperti pada individu berusia 70 tahun.
“Sangat menakutkan apabila memikirkan kesan vape kepada paru-paru saya.
“Saya mungkin tidak boleh bergusti lagi selepas ini kerana ia adalah sukan fizikal dan paru-paru saya mungkin tidak dapat bertahan,” kata Adam yang merupakan seorang ahli gusti.
Namun selepas jatuh sakit, Adam sukar bernafas dan doktor memaklumkan yang dia mungkin tidak dapat bergusti lagi..
Menurut Adam, dia menyangka penggunaan rokok elektronik adalah selamat berbanding rokok biasa, namun sangkaannya meleset apabila ia sebaliknya telah menjejaskan kesihatannya.
Difahamkan, Adam merupakan pengguna produk vape yang mengandungi THC, bahan psikoaktif utama yang terdapat dalam kanabis.
Sementara itu, ibu Hergenreder memberitahu anak lelakinya mungkin meninggal dunia jika lewat dibawa ke hospital.
Pegawai kesihatan AS juga kini sedang menyiasat 450 kes penyakit paru-paru berkaitan vape di seluruh 33 negeri di negara itu. – Mirror