Rentas Daerah: Pelawat dari Labuan perlu dapat kebenaran polis untuk ke Sabah

Rentas Daerah: Pelawat dari Labuan perlu dapat kebenaran polis untuk ke Sabah

LABUAN,. Individu atau pelancong dari pulau bebas cukai ini yang ingin masuk ke Sabah perlu terlebih dahulu mendapatkan kebenaran polis semasa pelaksanaan Kawalan Rentas Daerah di seluruh Sabah berkuat kuasa mulai tengah malam Sabtu sehingga 16 Okt ini.

Ketua Polis Daerah Labuan Supt Muhamad Farid Ahmad berkata orang ramai terutamanya warga tempatan dikehendaki memaklumkan balai polis dan membuat permohonan sebelum melakukan perjalanan ke Sabah.

Bagaimanapun, beliau berkata peraturan baharu itu tidak terpakai ke atas syarikat pengangkutan membawa barang keperluan termasuk perabot dan peralatan ke pulau bebas cukai itu tetapi mereka perlu ada surat rasmi daripada majikan masing-masing.

“Kami mengingatkan mereka yang ingin melakukan perjalanan melalui laut atau udara ke Sabah atas urusan peribadi perlu terlebih dahulu mendapatkan kebenaran bertulis daripada balai polis berhampiran di pulau ini.

“Untuk perkhidmatan penting seperti pengangkutan barang keperluan seperti makanan, ubat-ubatan, bahan keselamatan dan lain-lain barangan penting yang dibenarkan masuk ke Sabah … pergerakan di bawah kategori ini perlu ada surat rasmi daripada majikan dan perlu ditunjukkan kepada pihak berkuasa seperti polis di sekatan jalan raya,” katanya dalam satu kenyataan kepada Bernama pada Jumaat.

Muhamad Farid berkata Polis Kontinjen Labuan tidak akan membuat sekatan jalan raya di pulau ini bermula tengah malam 3 Okt berikutan pengumuman Kawalan Rentas Daerah di Sabah.

“Bagi Labuan, kami hanya akan menempatkan petugas yang mencukupi di Lapangan Terbang Labuan, dan dua terminal feri — Terminal Feri Ro-Ro dan Terminal Feri Antarabangsa Labuan, sejak 27 Sept,” katanya.

Beliau juga berkata pengawasan secara 24 jam di sepanjang pesisir perairan dilaksanakan untuk memantau kemungkinan cubaan menyusup masuk oleh warga tempatan atau pendatang asing melalui laluan tidak sah ke pulau ini bagi mengelak pemeriksaan COVID-19.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )