Rentas negeri: LLM tingkat kesiapsiagaan pengurusan kecemasan, kemalangan

Rentas negeri: LLM tingkat kesiapsiagaan pengurusan kecemasan, kemalangan

BANGI,. Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) telah mempertingkatkan kesiapsiagaan dalam pengurusan kecemasan dan kemalangan di 30 lebuh raya di negara ini bagi menghadapi pertambahan pergerakan trafik susulan kebenaran rentas negeri yang bermula semalam.

Ketua Penolong Pengarah Pembangunan dan Trafik LLM Syed Mohd Faizal Said Ahmad berkata kesemua syarikat konsesi lebuh raya telah diarahkan agar sentiasa mengadakan latihan simulasi kemalangan termasuk kursus ‘Basic Occupational First Aid’ untuk Pasukan Bantuan Kecemasan (ERT), yang wajib ditubuhkan syarikat konsesi.

“Langkah ini membantu melancarkan trafik di lebuh raya apabila tiba waktu puncak lebih-lebih lagi menjelang hujung minggu dan beberapa sambutan perayaan akan datang,” katanya kepada Bernama semalam.

LLM menjangkakan jumlah trafik akan meningkat kepada empat juta kenderaan sehari susulan kebenaran rentas negeri berbanding 3.5 juta kenderaan pada masa ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Ahad mengumumkan rakyat Malaysia yang telah lengkap divaksinasi dibenarkan melakukan pergerakan rentas negeri bermula semalam tanpa perlu mendapat kebenaran daripada polis.

Syed Mohd Faizal berkata unit peronda lebuh raya seperti PLUSRonda akan melakukan rondaan 24 jam untuk memastikan keselamatan pengguna di lebuh raya selain memberikan bantuan awal kepada pengguna lebuh raya jika berlaku kecemasan atau kemalangan.

Menurutnya, unit peronda akan membantu mengenal pasti lokasi kejadian kecemasan atau kemalangan sebelum memaklumkannya kepada ERT dan pihak berkuasa seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat dan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) untuk tindakan lanjut.

Beliau berkata setiap pasukan ERT dianggotai tiga petugas sentiasa berada dalam mod ‘standby’ di beberapa lokasi panas di sepanjang 2,016 kilometer lebuh raya antaranya di Lebuhraya Utara-Selatan, Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak, Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1 dan Fasa 2, serta Jambatan Pulau Pinang.

Beliau berkata 589 kamera litar pintas (CCTV) di semua rangkaian lebuh raya turut membantu pusat kawalan LLM dan syarikat konsesi lebuh raya untuk memantau perkembangan aliran trafik.

Syed Mohd Faizal berkata LLM juga menggunakan laman media sosial Twitter @LLM Trafik yang sentiasa dikemaskini bagi menyalurkan maklumat terkini kepada lebih 250,000 pengikut akaun dan pengguna lebuh raya.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )