Republik Autonomi Nakhchivan Azerbaijan masuki fasa baharu pembangunan -NAR

Republik Autonomi Nakhchivan Azerbaijan masuki fasa baharu pembangunan -NAR

KUALA LUMPUR, 11 Feb — Republik Autonomi Nakhchivan (NAR) Azerbaijan hari ini memasuki fasa pembangunan baharu, dengan pembukaan koridor komunikasi dan laluan pengangkutan di wilayah ini selepas Perang Karabakh yang meningkatkan kepentingan strategiknya.

Menurut artikel oleh Kedutaan Azerbaijan di Malaysia, pembukaan koridor yang menghubungkan Azerbaijan dengan wilayah eksklusif Nakhchivan, melonjakkan potensi negeri-negeri di rantau ini, seperti dinyatakan dalam perjanjian tiga hala antara Azerbaijan, Persekutuan Rusia, dan Armenia pada 10 November 2020.

“Menerusi perjanjian itu, pembinaan laluan pengangkutan baharu yang menghubungkan NAR dan wilayah barat Azerbaijan akan disediakan”.

“Dari perspektif ketersambungan Eurasia, koridor Nakhchivan dapat menjadi sebahagian koridor pengangkutan utara-selatan dan timur-barat yang merentasi Kaukasus Selatan. Koridor NAR ke tanah besar Azerbaijan akan menyumbang kepada pembangunan keseluruhan wilayah,” kata artikel itu.

Kedudukannya dikelilingi daratan, dengan penduduk sekitar 450,000 orang, bersempadan dengan Armenia, Turki dan Iran. Ibu kotanya, Bandar Nakhchivan, terletak berhampiran sempadan Iran dan kira-kira 536 kilometer dari Baku, ibu kota Azerbaijan.

Ia diketahui mempunyai simpanan arsenik, tembaga, emas, sulfur, polimetalik, travertine, dolomit, garam batu, batu kapur marmar, batu plaster, dan air mineral.

Pada 9 Februari, Azerbaijan menyambut ulang tahun ke-97 penubuhan NAR, tempat kelahiran pemimpin Heydar Aliyev yang melakarkan banyak detik bersejarah.

Di wilayah inilah perjalanan menuju kemerdekaan Azerbaijan bermula pada 1990-an. Di sini jugalah bendera Azerbaijan dikibarkan di sempadannya selepas pasukan Soviet disingkirkan.

Status autonomi wilayah tersebut ditentukan dengan Perjanjian Moscow (16 Mac 1921) dan Kars (13 Oktober 1921) yang membawa kepada penyatuan Nakhchivan dan menjamin autonomi wilayah itu di bawah naungan Kerajaan Azerbaijan.

Pada 9 Februari 1924, Nakhchivan ditukar ke Republik Autonomi dan tarikh itu disambut setiap tahun.

Selama bertahun-tahun NAR tersepit dengan konflik antara Armenia dan Azerbaijan. Keadaan itu mendorong penduduknya berdikari dari segi ekonomi dengan menjalankan pertanian untuk makanan dan menghasilkan barangan sendiri.

“Hari ini, ekonomi NAR muncul yang paling maju wilayah Azerbaijan,” menurut artikel itu.

Nakhchivan juga terkenal sebagai destinasi peradaban lama dengan monumen bersejarah terkenal seperti Gamigaya berusia sekitar 5,000 tahun, selain berperanan memelihara pencapaian budaya Islam selama berabad-abad.

Selain diisytiharkan sebagai Ibu Kota Budaya Islam 2018 semasa persidangan ke-6 Menteri Kebudayaan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), Nakhchivan juga merupakan destinasi menarik untuk pelancong dalam dan luar negara.

Nakhchivan menawarkan pelbagai keindahan dan keunikan termasuk warisan budaya, sejarah, botani, ekologi serta pelancongan kesihatan.

— BERNAMA

CATEGORIES
Share This