Restoran agih makanan percuma kepada bekas pekerja pelancongan, pelancong terkandas

Restoran agih makanan percuma kepada bekas pekerja pelancongan, pelancong terkandas

LANGKAWI,. Sekumpulan pekerja sebuah restoran bersama sukarelawan di Jalan Pantai Chenang di sini semalam bertungkus-lumus menyediakan makanan dan minuman untuk diedarkan secara percuma.

Pekerja dan sukarelawan di Telaga Seafood Restaurant menyediakan kira-kira 100 bungkus makanan serta minuman untuk diedarkan dan mereka yang tampil mengambil sumbangan itu termasuk pekerja dalam sektor pelancongan di pulau bebas cukai ini.

Rata-rata mereka kehilangan pendapatan berikutan pandemik COVID-19 malah ada juga pelancong warga asing yang terkandas turut sama beratur semasa sesi pengagihan makanan tersebut.

Pegawai Eksekutif Telaga Group Muhammad Alif Aiman Azman, 23, berkata pengagihan makanan serta minuman secara percuma itu telah dilakukan sejak Ramadan lalu dan mereka mengambil keputusan meneruskannya sehingga tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) berakhir pada Jun depan.

“Kita mula buat agihan pada Ramadan lalu menggunakan dana sendiri serta sumbangan daripada orang ramai yang prihatin dengan tekanan dihadapi para pekerja dalam industri pelancongan sehingga ada yang terputus bekalan makanan.

“Rata-rata yang datang mengambil makanan dan minuman ini bergantung hidup kepada sektor pelancongan. Jika kita hentikan program ini, apa yang bakal berlaku kepada mereka? Jadi kita teruskan program ini termasuk pada Hari Raya pertama kita tetap sediakan makanan dan minuman kepada mereka,” katanya kepada Bernama.

Muhammad Alif berkata mereka mengalu-alukan sekiranya ada penderma yang ingin turut terlibat dan mereka boleh membuat sumbangan mengikut jumlah seperti RM20, RM50 serta RM100.

Beliau berkata pihak penderma akan mendapat diskaun tiket masuk atau pakej yang ditawarkan 15 rakan program produk terkemuka di Langkawi antaranya Langkawi SkyCab, Mega Water Sports, Taman Hidupan Liar Langkawi, Underwater World Langkawi dan Tropical Charters.

Sesi agihan makanan itu turut disertai seorang sukarelawan bernama Mohamed Salah, 27, pelancong Mesir yang terkandas sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan memiliki nama serupa dengan bintang bola sepak dari negara sama yang beraksi untuk Kelab Liverpool di England.

Pada mulanya, bekas guru yang telah berada di Malaysia selama lebih 60 hari itu sekadar berbaris bersama orang lain untuk mendapatkan makanan yang diedarkan namun selepas melihat usaha murni itu, beliau kemudian menawarkan diri untuk turut sama membantu sesi agihan yang dilakukan setiap petang.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This