Ribut petir, hujan lebat dan angin kencang diramal landa hampir semua negeri petang ini
KUALA LUMPUR,. Ribut petir, hujan lebat dan angin kencang diramal berlaku di hampir semua negeri sehingga 5 petang ini.
Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) menerusi amaran yang dikeluarkan pada 1.20 tengah hari memaklumkan ribut petir, hujan lebat dan angin kencang akan berlaku di seluruh Kuala Lumpur, Putrajaya, Labuan, Selangor dan Johor.
Keadaan cuaca sama juga dijangka melanda beberapa daerah di Kedah meliputi Kubang Pasu, Padang Terap, Sik dan Baling serta di Perak (Hulu Perak, Kuala Kangsar, Kinta, Perak Tengah, Kampar, Bagan Datuk, Hilir Perak, Batang Padang dan Muallim).
Turut diramal mengalami keadaan sama adalah Kelantan (Tumpat, Pasir Mas, Kota Bharu, Jeli, Tanah Merah, Bachok, Machang, Pasir Puteh dan Kuala Krai), Terengganu (Besut, Setiu, Hulu Terengganu, Dungun dan Kemaman) dan Pahang (Tanah Tinggi Cameron, Jerantut, Maran, Kuantan, Bera, Pekan dan Rompin).
Di Sarawak pula, ribut petir, hujan lebat dan angin kencang diramal berlaku di Sri Aman, Sibu, Mukah (Matu, Dalat dan Mukah), Kapit (Song dan Kapit), Bintulu (Tatau), Miri (Miri dan Marudi) dan Limbang manakala di Sabah melibatkan Pedalaman (Sipitang, Kuala Penyu dan Beaufort), Pantai Barat (Papar, Putatan, Penampang, Kota Kinabalu dan Tuaran) serta Tawau (Lahad Datu).
MetMalaysia menyatakan amaran dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 milimeter sejam yang hampir atau dijangka berlaku melebihi sejam.
“Amaran ribut petir adalah amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk satu-satu keluaran,” menurut MetMalaysia.
— BERNAMA