Richard Lind, Individu Penting Disebalik Batu Sumpah Keningau Meninggal Dunia

Richard Lind, Individu Penting Disebalik Batu Sumpah Keningau Meninggal Dunia

KOTA KINABALU: Individu yang memainkan peranan penting dalam pembinaan Batu Sumpah Keningau, Tan Sri Richard Lind, 98, meninggal dunia di kediamannya di Signal Hill, tengahari tadi. Mantan Setiausaha Kerajaan Negeri (SKN) ini berperanan dalam meyakinkan penduduk di pedalaman Sabah untuk bersetuju dengan pembentukan Malaysia melalui pembinaan Batu Sumpah di Keningau.

Anaknya yang merupakan seorang peguam Datuk Douglas Lind seperti dipetik The Star menyatakan ayahnya meninggal dunia ketika usianya baru hendak memasuki 99 tahun.

Menurut Douglas, urusan pengebumian akan dimaklumkan kemudian.

Richard berkhidmat sebagai SKN semasa zaman pemerintahan USNO dan bertanggungjawab membina Batu Sumpah setahun selepas pembentukan Malaysia pada 16 September 1963. Selepas pembentukan Malaysia, penduduk di pedalaman Sabah didapati menentang pembentukan tersebut.

Kemudian Ketua Menteri Sabah yang pertama Tun Fuad Stephen mengarahkan Richard selaku Pegawai Daerah Keningau ketika itu untuk melakukan pungutan suara bagi mengenal pasti sebab penduduk pedalaman menolak pembentukan itu.

Richard kemudian bertemu dengan OKK Sedomon Gunsanad mengenai penyebab tentangan masyarakat pedalaman. Satu pertiga masyarakat pedalaman Sabah menentang pembentukan Malaysia kerana bimbang tentang kebebasan beragama memandangkan Islam agama rasmi serta isu berkaitan tanah dan adat anak negeri yang perlu dipertahankan.

Batu Sumpah itu merupakan tugu peringatan yang dibina mengikut adat istiadat anak negeri Sabah di pedalaman yang percaya monumen itu mempunyai semangat yang harus dijaga bagi mengelak bala atau bencana.

Pembinaan Batu Sumpah yang dilakukan pada Ogos 1964 itu adalah sebagai simbol penerimaan rakyat pedalaman Sabah terhadap pembentukan Malaysia.

Batu Sumpah yang pada asalnya berada di pekarangan Pejabat Daerah Keningau itu kemudian dipindahkan ke lokasi baharu berhampiran Muzium Warisan Keningau pada 9 Mei 2018. Batu Sumpah itu berkait rapat dengan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

-Bornoetoday

CATEGORIES
Share This