Ringgit dibuka hampir tidak berubah

Ringgit dibuka hampir tidak berubah

KUALA LUMPUR,. Selepas ditutup tinggi pada Rabu, ringgit diniagakan hampir tidak berubah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada pagi Khamis berikutan kekurangan pemangkin pasaran untuk memacu mata wang tempatan.

Pada 9.00 pagi, ringgit berada pada 4.0400/0440 berbanding dolar AS daripada 4.0400/0450 semasa ditutup pada Rabu.

Walaupun dolar AS stabil, sentimen pasaran diimbangi oleh pelaksanaan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan yang menunjukkan prospek ekonomi yang cerah.

Semalam, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menerajui Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan dan menjadi individu pertama di negara ini menerima suntikan vaksin Pfizer-BioNTech di Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Putrajaya di Presint 11.

Ketua Strategi Pasaran Global, Axi Stephen Innes, berkata ringgit akan terus diniagakan dalam julat yang amat terhad, lebih cenderung kepada kadar aliran di AS dan sentimen dolar AS yang lebih luas daripada kenaikan harga minyak mentah buat masa ini.

Beliau percaya pemangkin pertumbuhan domestik perlu meningkat untuk momentum ringgit turut meningkat dan terdapat perbincangan bahawa Bank Negara Malaysia (BNM) mahu melihat ringgit stabil sekitar 4.00 berbanding dolar AS untuk menambah baik situasi eksport hingga ekonomi domestik meningkat.

“Pendapat saya ialah pelabur mahu melihat kemajuan ekonomi di lapangan sebelum membuat pelaburan dalam dagangan ringgit.

“Prospek jangka panjang dilihat baik untuk ringgit berikutan harga tenaga yang meningkat, sektor eksport yang kukuh tetapi untuk kebimbangan pada masa ini, pelabur mungkin memerlukan lebih banyak galakan daripada pemulihan data ekonomi domestik,” katanya kepada Bernama.

Sementara itu, ringgit diniagakan kebanyakannya tinggi berbanding mata wang utama lain.

Ia naik berbanding yen Jepun kepada 3.8088/8129 daripada 3.8192/8243 pada Rabu, mengukuh berbanding pound kepada 5.7134/7198 daripada 5.7210/7292 dan meningkat berbanding euro kepada 4.9126/9191 daripada 4.9134/9203 semalam.

Mata wang tempatan, bagaimanapun merosot berbanding dolar Singapura kepada 3.0627/0669 daripada 3.0608/0656 sebelum ini.

-BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This