Ringgit dibuka hampir tidak berubah berbanding dolar AS

Ringgit dibuka hampir tidak berubah berbanding dolar AS

KUALA LUMPUR,. Urus niaga ringgit dibuka rendah sedikit berbanding dolar AS pagi ini di tengah-tengah jangkaan peningkatan hasil bon AS menjelang pengumuman Indeks Harga Pengguna (IHP) AS untuk bulan Mac 2021 lewat hari ini.

Pada 9 pagi, unit tempatan itu susut 10 mata asas kepada 4.1320/1360 berbanding dolar AS daripada 4.1310/1350 ketika mengakhiri urus niaga petang Isnin.

Kerugian itu bagaimanapun, telah disekat oleh harga minyak mentah yang lebih stabil dengan minyak mentah penanda aras Brent naik 0.08 peratus kepada AS$63.33 setong.

“Ringgit juga terperangkap di celah-celah petunjuk bertentangan iaitu antara harga minyak mentah yang kian stabil dan jangkaan hasil AS yang tinggi (dolar AS lebih kukuh) menjelang pengumuman doket ekonomi AS minggu ini,” jelas Ketua Strategi Pasaran Global Axi Stephen Innes kepada Bernama.

Sementara itu, Innes berkata prestasi ringgit turut tertekan oleh rekod penularan COVID-19 di Thailand, India dan Filipina.

“Berikutan gelombang baharu pandemik di Thailand, India dan Filipina, saya berpendapat kebimbangan mengenai virus serantau ini telah menjejaskan sentimen tempatan secara keseluruhan, terutamanya melalui negara dengan pelancaran vaksin yang lambat yang mungkin menyumbang kepada beberapa aliran keluar pasaran,” kata beliau.

Pada paras pembukaan, ringgit diniagakan bercampur-campur berbanding mata wang utama lain.

Ia hampir tidak berubah berbanding dolar Singapura kepada 3.0815/0850 daripada 3.0810/0851 pada Isnin dan menyusut berbanding euro kepada 4.9183/9235 daripada 4.9171/9227.

Berbanding yen Jepun, ringgit mengukuh kepada 3.7711/7758 daripada 3.7785/7832 sementara dengan pound sterling pula, ia meningkat kepada 5.6670/6841 daripada 5.6743/6807 semalam.

– Bernama

CATEGORIES
TAGS
Share This