Ringgit dibuka rendah

KUALA LUMPUR,. Ringgit dibuka rendah pada pagi urus niaga Isnin berikutan kebimbangan akan jangkitan COVID-19 yang sekali gus telah mendorong kepada pembelian dolar AS.

Pada pukul 9.05 pagi, ringgit disebut harga pada 4.2750/2810 berbanding 4.2670/2730 ketika ditutup pada Jumaat.

Ketua Strategi Pasaran GLobal AxiCorp Stephen Innes berkata perhatian para pelabur kini tertumpu kepada peningkatan kes-kes COVID-19 di AS dan jangkitan baharu di Beijing yang telah menimbulkan kebimbangan untuk kembali kepada sekatan pergerakan seluruh dunia.

“Ringgit meningkat, didorong oleh kenaikan harga-harga minyak dan sentimen risiko global yang lebih baik.

“Tetapi dengan munculnya semula kebimbangan mengenai COVID-19, sedikit sebanyak ia akan merugikan sentimen ringgit dalam tempoh terdekat dengan pasaran minyak dan saham yang kurang memberangsangkan. Sebaliknya, fokus lebih kepada virus yang boleh menjejaskan ekonomi,” kata beliau kepada Bernama.

Minyak mentah Brent dan West Texas Intermediate (WTI) diniagakan tinggi, masing-masing pada US$42.31 setong dan US$39.83 setong.

Sementara itu, ringgit diniagakan tinggi berbanding kumpulan mata wang utama lain.

Ia meningkat kepada 3.0590/0640 daripada 3.0614/0662 berbanding dolar Singapura dan menokok kepada 5.2809/2887 daripada 5.2983/3075 pound Britain.

Mata wang tempatan lebih kukuh berbanding euro kepada 4.7807/7892 daripada 4.7854/7926 tetapi merosot berbanding yen Jepun kepada 3.9998/4.0066 daripada 3.9897/9964 penutup Jumaat minggu lepas.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )