Ringgit dibuka rendah

Ringgit dibuka rendah

KUALA LUMPUR,. Ringgit dibuka rendah berbanding dolar US hari ini berikutan mata wang Amerika Syarikat (AS) itu mengukuh selepas Indeks Pengurus Pembelian (PMI) Pembuatan Institut Pengurusan Bekalan (ISM) AS naik kepada 56 daripada 54.2 pada Ogos.

Pada 9.09 pagi, mata wang tempatan berada pada 4.1490/1540 berbanding dolar US daripada 4.1400/1450 semasa ditutup pada Selasa.

Ketua Strategi Pasaran Global AxiCorp Stephen Innes berkata kemerosotan kecil dijangka berikutan dolar US mengukuh tetapi sentimen ringgit yang meningkat tidak terjejas dalam persekitaran harga minyak meningkat dan hasil Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS) yang menggalakkan.

“Permintaan terhadap bon MGS akan kekal kukuh menjelang jangkaan pengurangan kadar oleh Bank Negara Malaysia dalam masa terdekat ketika harga minyak dilihat stabil dan pada aliran meningkat,” katanya.

Sementara itu, ringgit diniagakan tinggi berbanding mata wang utama lain.

Ia naik berbanding dolar Singapura kepada 3.0454/0508 daripada 3.0490/0539 pada Selasa dan meningkat berbanding yen kepada 3.9097/9152 daripada 3.9149/9207 semalam.

Ringgit naik berbanding pound kepada 5.5476/5547 daripada 5.5671/5742 semalam dan meningkat berbanding euro kepada 4.9336/9412 daripada 4.9593/9665.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This