Ringgit dibuka rendah berbanding Dolar AS
KUALA LUMPUR,. Ringgit dibuka rendah berbanding dolar AS hari ini susulan kekurangan pergerakan berterusan.
Pada 9.02 pagi, ringgit berada pada 4.1100/4.1140 berbanding dolar AS daripada 4.1080/1110 ketika ditutup pada Selasa.
Penganalisis berkata pasaran gagal mengekalkan aliran meningkat yang dicatatkan hari-hari sebelum ini memandangkan pelabur berhati-hati selepas mengambil petunjuk daripada angka kematian disebabkan wabak 2019 novel koronavirus, dengan kadar kematian bertambah 490 orang setakat malam tadi.
Justeru, beliau berkata pasaran berharap usaha suntikan China untuk merangsangkan ekonominya dapat memberi petunjuk seterusnya.
Sementara itu, Ketua Pakar Strategi Pasaran AxiCorp, Stephen Innes berkata langkah Beijing untuk merangsangkan ekonominya boleh memberi lonjakan kepada sektor eksport komoditi dan pembuatan Malaysia.
“Walaupun masih awal untuk mencadangkan hasilnya, kesan langkah penyelesaian terakhir oleh People’s Bank of China itu wajar menarik aliran masuk serantau, terutama sekiranya yuan terus bergerak pada tangen positif.
“Ringgit bertukar lemah serta-merta susulan risiko China memandangkan aliran keluar ekuiti tempatan meningkat, disebabkan eksport Malaysia yang sensitif dengan China,” katanya.
Ringgit diniagakan tinggi kebanyakannya berbanding mata wang utama lain.
Ia meningkat berbanding dolar Singapura kepada 2.9944/9977 daripada 2.9970/0001 pada Selasa dan meningkat berbanding yen Jepun kepada 3.7571/7609 daripada 3.7654/7691.
Mata wang tempatan juga mengukuh berbanding euro kepada 4.5398/5435 daripada 4.5410/5459 semalam namun rendah berbanding pound Britain kepada 5.3546/3589 daripada 5.3466/3521.
— BERNAMA