Ringgit dibuka rendah berbanding Dolar AS

Ringgit dibuka rendah berbanding Dolar AS

KUALA LUMPUR,. Ringgit dibuka rendah pagi ini berbanding dolar AS apabila permintaan terhadap dolar AS meningkat berikutan kebimbangan terhadap prospek ekonomi global yang makin memburuk.

Pada 9.05 pagi, ringgit berada pada 4.3600/3690 berbanding dolar AS daripada paras penutup 4.3480/3550 pada Khamis.

Seorang penganalisis berkata angka tuntutan penggangguran awal Amerika Syarikat pada minggu lepas yang berganda kepada 6.65 juta susulan impak COVID-19 terhadap pekerjaan telah menyebabkan para pelabur mencari dolar AS.

Selain itu, para pelabur turut menunggu data eksport dan import tempatan bagi Februari yang dijadual dikeluarkan hari ini.

Sementara itu, Ketua Strategi Pasaran Global AxiCorp Stephen Innes berkata kenaikan harga minyak mentah dunia dijangka menyaksikan ringgit diniagakan lebih tinggi, tetapi bukan hari ini.

“Dan meskipun peningkatan harga minyak tidak begitu menyokong ringgit, kita berada di kedudukan yang lebih baik hari ini berbanding pada pertengahan minggu, yang merupakan suatu yang baik bagi sentimen tempatan,” katanya.

Sementara itu, ringgit diniagakan kebanyakannya tinggi berbanding kumpulan mata wang utama lain.

Unit tempatan meningkat berbanding euro kepada 4.7271/7386 daripada 4.7537/7631 pada paras penutup Khamis dan naik berbanding pound Britain kepada 5.3981/4114 daripada 5.4180/4285.

Ringgit juga naik berbanding yen Jepun kepada 4.0363/0450 daripada 4.0518/0591 tetapi turun berbanding dolar Singapura kepada 3.0441/0508 daripada 3.0395/0457.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This