
Ringgit dibuka rendah berbanding Dolar AS
KUALA LUMPUR,. Ringgit rendah berbanding dolar US pada sesi awal dagangan hari ini berikutan pengambilan untung yang ringan susulan kenaikan selama tiga hari berturut-turut dicatatkan mata wang tempatan.
Pada 9.11 pagi, ringgit berada pada 4.2630/2700 berbanding dolar AS daripada 4.2590/2660 ketika ditutup semalam.
Peniaga berkata sentimen pembelian terhadap ringgit juga dipengaruhi oleh penurunan harga minyak mentah global apabila penanda aras antarabangsa, minyak mentah Brent susut 0.68 peratus kepada US$39.52 setong manakala minyak WTI turun 1.13 peratus kepada US$36.97 setong.
“Selain itu, unit tempatan juga tidak mencatatkan pergerakan ketara selepas mengalami kenaikan memandangkan pelabur menunggu hasil mesyuarat OPEC+ hari ini,” katanya.
Sementara itu, ringgit diniagakan bercampur-campur berbanding kumpulan mata wang utama.
Mata wang tempatan rendah berbanding dolar Singapura kepada 3.0498/0559 daripada 3.0480/0537 ketika ditutup semalam dan lemah berbanding euro kepada 4.7839/7931 daripada 4.7769/7856.
Ringgit naik berbanding yen Jepun kepada 3.9128/9203 daripada 3.9149/9224 semalam serta meningkat berbanding pound Britain kepada 5.3479/3571 daripada 5.3638/3743.
— BERNAMA