Ringgit dibuka rendah berbanding dolar AS

KUALA LUMPUR,. Ringgit dibuka rendah sedikit berbanding dolar AS hari ini seiring dengan penurunan nilai yuan China, kata seorang peniaga.

Pada 9.10 pagi, unit tempatan berada pada 4.1870/1900 berbanding dolar AS daripada paras penutup 4.1840/1870 pada Jumaat minggu lepas.

Pakar Strategi Pasaran Axi Trader Asia-Pacific Stephen Innes berkata para pegawai China membayangkan bahawa mereka enggan bersetuju dengan perjanjian terma menyeluruh semasa rundingan perdagangan Amerika Syarikat (AS)-China pada minggu ini.

“Bagaimanapun, dengan kurangnya susulan kepada langkah awal, para peniaga terus mengambil pendekatan tunggu dan lihat,” katanya kepada Bernama.

Di dalam negara, Belanjawan 2020 yang dibentangkan pada Jumaat ini akan menjadi fokus utama untuk melihat bagaimana reaksi pelabur asing, yang juga akan memberi kesan kepada sentimen tempatan, kata Innes.

Ringgit diniagakan rendah berbanding mata wang utama lain kecuali dolar Singapura.

Unit tempatan turun berbanding yen kepada 3.9226/9265 daripada 3.9194/9230 pada Jumaat dan susut berbanding pound kepada 5.1634/1675 daripada 5.1631/1680.

Ia jatuh berbanding euro kepada 4.6011/6048 daripada 4.5928/5977.

Bagaimanapun, ringgit meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.0330/0356 daripada 3.0332/0363 sebelumnya.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )