Ringgit dibuka rendah berbanding dolar AS

Ringgit dibuka rendah berbanding dolar AS

KUALA LUMPUR,. Ringgit dibuka lebih rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada awal dagangan hari ini berikutan peningkatan semula minat terhadap mata wang negara maju yang disifatkan sebagai selamat, kata seorang peniaga.

Ketua Strategis Pasaran Global AxiCorp Stephen Innes berkata permintaan terhadap dolar AS itu juga berkemungkinan besar melenyapkan sebarang peningkatan dalam masa terdekat ini berikutan kejatuhan harga minyak mentah, faktor risiko yang kekal tidak menentu serta tindak-tanduk Presiden Donald Trump membabitkan perkembangan berhubung pakej rangsangan ekonomi di negara maju itu.

“Berikutan mata wang yuan China susut semalaman, saya menjangkakan ini akan hanya meletakkan ringgit pada tahap bertahan,” katanya.

Pada 9.05 pagi ini, ringgit diniagakan pada paras 4.1550/1640 berbanding dolar AS daripada paras 4.1500/1570 sewaktu ditutup semalam.

Sementara itu, prestasi ringgit kebanyakannya tinggi berbanding mata wang utama lain.

Ringgit mengukuh berbanding dolar Singapura pada 3.0491/0568 daripada 3.0521/0577 pada Selasa, meningkat berbanding pound Britain pada 5.3500/3624 daripada 5.3821/3929 dan naik berbanding euro kepada 4.8742/8865 daripada 4.8879/8974.

Bagaimanapun, ringgit rendah berbanding yen kepada 3.9321/9417 daripada 3.9303/9373 sebelum ini.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )